fbpx
TERBIASA menjalani kehidupan bertiga, pelakon Rita Rudaini tidak pernah berasakan sambutan rayanya bersama dua puteranya kurang sempurna. Saban tahun hari kemenangan diraikan dengan penuh sulaman bahagia.

Anak tiada memori raya dengan bapa – Rita Rudaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANPA kehadiran susuk bernama suami mahupun seorang bapa, lebaran buat wanita jelita bersama dua heronya itu tetap meriah dan penuh bermakna.

Tiada hadiah yang lebih membahagiakan pelakon Rita Rudaini selain melihat kegembiraan dua permata hati meraikan Syawal bersama keluarga besarnya di Perlis.

Tahun ini juga, Rita sebenarnya memenuhi permintaan Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, yang merindukan suasana berhari raya di kampung.

Lebih memaknakan, tahun lalu Aidilfitri hanya disambut di Kuala Lumpur memandangkan kesemua adik-beradik, anak saudara dan sepupu dekatnya ‘turun’ beraya di ibu negara.

“Tahun ini saya balik ke Kangar atas permintaan anak-anak memandangkan tahun lalu kami beraya di Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, setiap tahun, saya dan bersama sepupu lain akan berbincang destinasi menyambut Syawal sama ada di Kuala Lumpur, Perak atau semua balik ke Perlis.

“Tetapi kali ini anak-anak mahu beraya dengan sepupu mereka di kampung, jadi saya penuhi permintaan mereka,” katanya kepada HibGlam.

HUBUNGAN akrab dengan saudara-mara menjadikan raya dalam kamus hidup Rita tidak pernah sunyi dengan agenda, sama ada berkumpul di Perlis atau di Kuala Lumpur sahaja.

Tidak terasing

Paling dinantikan mereka sekeluarga tentu saja saat kesemua adik-beradik serta anak saudara tiba di kampung tanah tumpah darah.

Suasana gamat dengan semua orang mahu berkongsi cerita menjadikan setiap detik berada di sisi insan tersayang sarat 1001 makna.

Tambahan pula ada antara mereka jarang berjumpa disebabkan ada yang tinggal berjauhan, jadi hari raya adalah masa merapatkan ukhwah.

Begitupun, kata pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mokhtar, 48, itu lagi, kedua-dua puteranya tidak pernah berasa terasing walaupun tidak bersalaman dengan lelaki yang dipanggil bapa.

“Sebenarnya mereka okey saja, mereka tak rasa apa-apa pun kalau melihat orang lain bersalaman dengan ayah mereka di pagi raya.

“Saya sendiri pernah tanya pada Rayyan ingat lagi tak sambut raya dengan bapanya waktu usia dua tahun, tapi dia tak ingat. Kiranya tiada memori beraya dengan bapa.

“Bagi anak-anak, keluarga mereka adalah saya, mak tok (nenek) mereka, abang dan adik saya serta sepupu-sepupu mereka,” ujar bintang filem Mami Jarum itu.

Tanpa kelibat bapa pun, paling utama, mereka menikmati momen membesar dengan gembira.

“Saya tak pernah nampak mereka bersedih, bagi mereka dapat balik beraya dengan saudara-mara di Perlis pun sudah cukup menyeronokkan.

“Dapat buat aktiviti beramai-ramai macam ronda kampung juga merupakan perkara kecil yang besar maknanya buat anak-anak.

“Tidak pernah terasa langsung biarpun hanya bertiga sahaja, kami sudah lengkap, ditambah sistem sokongan sedia ada di sekeliling kami,” kongsinya.

RITA bahagia dapat memenuhi permintaan anak-anak untuk bertemu sepupu-sepupu dan menyambut Syawal dalam suasana kampung di Kangar, Perlis tahun ini.

Pilih bersederhana

Masih dalam mood Syawal yang belum bersisa, Rita menyambung kisah Aidilfitrinya yang serba sederhana dan hanya fokus terhadap keperluaan dua puteranya.

“Saya tak kisah jika untuk saya tiada baju baharu, asalkan kelengkapan raya anak sudah tersedia kerana saya tidak suka membazir.

“Lebih baik menyimpan dalam tabung untuk kegunaan perkara yang lebih penting terutama membabitkan pendidikan.

“Macam tahun ini, saya hanya sediakan dua pasang baju raya setiap seorang. Untuk saya, cukuplah sepasang baju kurung,” ujarnya.

Mengenai penampilan Airit Rayyan dan Airit Qaqa sebagai model baju Melayu keluaran Hazel Hisham, akuinya dia sudah lama bekerjasama dengan pereka fesyen itu.

Andai musim Syawal sebelum ini hanya Rita tampil bersendirian, kali ini dua heronya yang sudah tinggi lampai itu dipelawa memperagaan baju Melayu.

Tiada paksaan, sebaliknya mereka yang bersedia untuk menemaninya menyertai kempen RitRudXHazelHisham sempena Aidilfitri.

“Kebetulan sesi fotografi dilakukan ketika cuti sekolah dan mereka pun mahu ikut walaupun agak malu-malu.

“Biarpun sejak kecil biasa di depan kamera, fotografi untuk promosi produk begini mungkin berbeza buat mereka.

“Apa pun, kami seronok sepanjang proses itu berlangsung, sekali gus menyuntik pengalaman baharu buat anak-anak,” ulasnya.

TERHARU masih mendapat kepercayaan pemilik jenama fesyen, tahun ini Rita tidak keseorangan sebaliknya berganding bersama anak-anak untuk kempen koleksi raya Hazel Hisham.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN