fbpx
PERANG harga antara syarikat pengendali aplikasi e-hailing bagus untuk penumpang tetapi menjejaskan pemandu. – GAMBAR HIASAN

5 pemandu e-hailing berhenti kerja setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perang harga dalam kalangan syarikat penyedia perkhidmatan aplikasi ­e-hailing memberi keuntungan kepada penumpang tetapi pada masa sama menjejaskan pendapatan kira-kira 170,000 pemandu di seluruh negara.

Tindakan penyedia per­khidmatan e-hailing yang secara berterusan memikat penum­pang dengan harga terendah mereka itu menyebabkan ramai pemandu lama berhenti kerana mendakwa ia tidak lagi berbaloi dengan kos yang perlu ditanggung.

Statistik Agensi Pengangkutan Awam Darat mendedahkan terdapat sebanyak 27 syarikat e-hailing yang dilesenkan oleh agensi tersebut setakat 5 Mac lalu.

Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali mendakwa, secara purata terdapat antara lima hingga 10 pemandu e-hailing tidak lagi meneruskan pekerjaan itu setiap sehari ekoran perang harga tersebut.

Katanya, mereka membuat keputusan untuk melepaskan permit kenderaan e-hailing dan kembali mengubah status ken­deraan kepada persendirian.

“Mereka merupakan individu yang sudah lama menjadi pemandu e-hailing tetapi tidak mampu bertahan dengan kadar tambang yang rendah untuk penghantaran jauh.

“Sebahagian besar pemandu lama terpaksa menyerah dan perlu mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarga,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Arif Asyraf, penurunan kadar tambang sehingga 50 sen setiap kilometer (km) langsung tidak berbaloi dengan kos yang perlu ditanggung
termasuk petrol, selenggara, tayar, kerosakan enjin dan sebagainya.

Tambahnya, pemandu ­e-hailing berharap penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig (SPGig) seperti yang pernah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini diwujudkan segera bagi menangani isu tersebut.

“Paras siling tambang antara RM1 hingga RM1.30 bagi setiap kolimeter perlu dikuatkuasakan bagi menjamin kebajikan pemandu pemandu sekali gus menghentikan perang harga,” katanya.

Sementara itu, pemandu ­e-hailing, Ken, 40-an, berkata, dia berhenti menjadi pemandu e-hailing kerana tidak berpuas hati dengan kadar tambang rendah.

“Saya bawa e-hailing sudah lama tetapi tambang pada masa kini langsung tidak berpihak kepada pemandu.

“Lebih baik saya cari kerja lain yang boleh tampung kehidupan saya sekeluarga. Penghantaran satu jam kadangkala cuma RM20 dan ini sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya.

Menurut Ken, dia pernah mendapat pesanan menghantar penumpang ke Genting Highlands dari Cheras dengan tambang RM60.

“Saya terus batalkan kerana rugi. Sekarang pemandu teksi pun tak mahu buat e-hailing,” katanya.

Roslan, 47, pula berkata, dia sudah berhenti bekerja sebagai pemandu e-hailing tahun lalu dan kini mencari rezeki dengan menjadi penghantar barang untuk syarikat kurier.

Menurutnya, dia yang hilang pekerjaan di syarikat swasta semasa pandemik Covid-19 tidak lagi berminat bekerja dengan mana-mana majikan dan mahu terus bekerja sendiri.

“Tambang rendah, bagaimana mahu tampung kehidupan. Tambang agak okey pada hari minggu atau waktu puncak sahaja, tetapi masa itu kita terpaksa redah ke­sesakan lalu lintas.

“Walaupun tambang agak okey waktu tersebut, tetapi kita rugi daripada sudut masa pula. Jadi tidak berbaloi juga. Saya guna beberapa aplikasi e-hailing pun sama juga,” katanya.

Kementerian Sumber Manu­sia pada 21 Mac lalu memaklum­kan akan melantik perun­ding ba­gi melaksanakan ‘Kajian Memba­ngunkan Kerangka Dasar Pekerja­an dan Perundangan Da­lam Ekonomi Gig’ di negara ini yang menjurus kepada penubuhan SPGig.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dipetik berkata, lantikan perun­ding itu untuk mendapatkan kajian empirikal supaya akta atau punca kuasa yang bakal diper­kenalkan berhubung SPGig adalah tepat di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN