GAMBAR HIASAN - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Jangan sampai ‘si bulus’ jadi mangsa cuti raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM rancak membuat persediaan akhir menjelang Syawal, pemilik kucing diminta tidak ambil ringan kebajikan haiwan peliharaan terutama bagi mereka yang pulang ke kampung.

Masalah timbul apabila ramai pengguna meluahkan rasa kecewa apabila si bulus yang dititipkan ke lokasi berbayar diserang penyakit, selain tidak terurus.

Bagai siri yang diulang tayang, isu penyakit berjangkit serta jagaan si bulus tidak setara dengan bayaran dilaburkan menjadi topik perbualan maya.

Risiko virus pavor yang menjangkiti kucing juga menjadi isu paling ditakuti kerana boleh membawa maut andai lambat mendapatkan rawatan.

Situasi ini kebiasaannya berlaku apabila segelintir pengusaha pusat jagaan haiwan bersikap tamak dengan menerima kemasukkan ‘tetamu’ dalam jumlah berganda daripada kapasiti sangkar sedia.

Tidak hairan ada dalam kalangan kucing ditempatkan dalam kandang bersesak-sesak sehingga dijangkiti penyakit.

Biarpun jumlah operator seperti itu boleh dikira dengan jari, imej buruk seperti itu boleh memberi gambaran negatif kepada pengusaha lain.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid berkata, risiko si bulus terkena penyakit berjangkit ketika dihantar ke pusat jagaan dapat diminimumkan dengan melakukan kajian dahulu.

Katanya, pemilik kucing atau haiwan peliharaan lain perlu menyemak latar belakang hotel pilihan, bukan membuat carian pada saat akhir sehingga tidak peka terhadap ‘redflag’ atau petanda kurang baik.

“Kebiasaannya tempahan hotel kucing patut dibuat lebih sebulan sebelum cuti perayaan kerana banyak tempat terbaik cepat penuh.

“Pemilik kucing tidak boleh mengamalkan sikap tidak mengapa dengan menghantar sahaja haiwan mereka ke pusat yang kosong tanpa menyelidiki latar belakang pengusaha.

“Kucing adalah haiwan sensitif, selain faktor kesihatan, tekanan ditempatkan disangkar baharu atau berdepan suasana berbeza dari kediaman asal boleh mencetuskan tekanan,” katanya.

Pelbagai cara lain boleh diaplikasikan untuk memastikan haiwan dijaga ketika pemilik bercuti termasuk mendapatkan khidmat ‘catsitter’ atau penjaga kucing.

Kata Khalid, perkhidmatan penjaga datang ke rumah sangat praktikal bagi mereka yang mempunyai banyak kucing, selain mengikut beberapa cara lain bagi mengatasi masalah pengabaian si manja di hotel.

“Khidmat ‘catsitter’ menjadi kaedah popular masa kini, sekali gus tidak memerlukan kucing di hantar ke sana sini.

“Namun, andai terpaksa memilih hotel sebagai solusi, pemilik boleh meminta saudara atau rakan terdekat menziarah kucing di pusat terbabit secara berkala,” ujarnya.

Begitupun, kata Khalid tidak bermakna operator hotel haiwan boleh terlepas tanggungjawab andai tetap berlaku pengabaian, mereka tetap bakal berdepan tindakan.

“Di bawah Seksyen 29 Akta Perlindungan Haiwan 2015, pesalah boleh didenda RM20,000 hingga RM100,000 dan mungkin hukuman penjara selama tiga tahun.

“Negara mempunyai peruntukan undang-undang yang boleh menghukum sesiapa sahaja yang terbukti bersalah melakukan penganiayaan kepada haiwan, lebih-lebih lagi yang sudah diamanahkan untuk menjaga haiwan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN