fbpx
Orang ramai lebih selesa menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang beraya di kampung. - GAMBAR HIASAN

‘Tak kisah tiket bas mahal, asalkan dapat pulang beraya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan harga tambang bas ekspres ka­tegori perkhidmatan ekonomi sehingga 10 peratus baru-baru ini tidak menghalang orang ramai untuk pulang ke kampung bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Malah, rata-rata daripada mereka juga mengakui sudah membeli tiket lebih awal iaitu sebelum tibanya Ramadan lagi.

Penuntut universiti awam, Muhammad Zafri Mohamad Zhahir, 21, berkata, dia perlu membayar tiket berharga RM60 untuk pulang ke Pendang, Kedah dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan berbanding RM50 lebih sebelum ini.

“Walaupun harga tiket naik, sebagai pelajar yang masih ditanggung ibu bapa, sudah tentu saya agak berkira. Namun, di­sebabkan mahu juga pulang, saya terpaksa membelinya,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Muhammad Haikal Aziz, 26, pula, dia lebih berminat untuk pulang ke kampung halamannya di Butterworth, Pulau Pinang dengan menaiki bas berbanding memandu kereta sendiri ataupun menggunakan pengangkutan awam.

“Saya rancang pulang ke kampung sehari sebelum Aidilfitri. Buat masa ini, saya belum beli tiket tetapi sudah beberapa kali menyemak harga tiket menerusi online. Memang ada kenaikan.

“Ada syarikat meletakkan harga sekitar RM36 hingga RM40 ke Butterworth dan ada juga harga tiket bas cecah RM40 hingga RM50. Sudah tentu saya akan pilih harga murah,” jelasnya.

Pekerja bank, Nur Nadhirah Ismail, 27, berkata, dia agak bernasib baik apabila berjaya mendapatkan tiket bas ke Kota Bharu, Kelantan pada harga kurang RM50 seperti tahun lalu.

“Saya beli tiket berharga RM47.70 sekeping melalui aplikasi tiket bas. Namun, harga tiket pulang ke Kuala Lumpur pula mencecah RM60 dan menggunakan bas tambahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN