fbpx
Mi kari kuah laksa merupakan gabungan mi kuning dengan kuah asam laksa. Ia tercetus daripada dialog drama legenda sutradara popular, Allahyarham Mamat Khalid yang terkenal dengan filem Blockbuster, Kampung Pisang.

Menu mi kari kuah laksa hidupkan legasi Allahyarham Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“PAK Jabit, mi kari… kuah laksa.. makan sini,” merupakan dialog popular yang ditutur watak Yah Kuchai dalam drama arahan sutradara terkenal, Allahyarham Mamat Khalid, Kampong Pisang Bersiri-Siri yang merupakan francais filem blockbuster Kampung Pisang.

Penangan dialog itu juga, Yah Kuchai pernah menjadi tular dalam kalangan peminat siri tersebut.

Siapa sangka, menu yang asalnya hanya wujud dalam dialog drama berkualiti filem itu kini boleh dirasai di sebuah restoran milik anak kedua Allahyarham Mamat Khalid sendiri.

Restoran Ah Mat Kafe yang terletak di Jalan Che Tak, Ipoh, Perak itu pantas mencuri tumpuan, khususnya buat peminat drama atau filem tersebut yang mahu merasai sendiri kombinasi mi kari atau mi kuning yang dihidang bersama kuah asam laksa.

Seorang pelanggan, Mohd. Shahiran Muhammad yang berkesempatan mencuba menu tersebut ketika berkunjung ke Ipoh berkongsi, dia amat menyukai menu tersebut yang dianggap kena dengan cita rasanya.

“Saya sukakan kombinasi menarik antara mi kuning yang dihidang bersama kuah laksa yang pekat dan sedikit masam.

“Rasanya unik dan pada saya ia satu menu wajib cuba,” katanya.

Berkongsi kepada K2, pemilik Ah Mat Kafe, Nor Sara Mohamad, 32, berkata, menu unik itu bukanlah diwujudkan semata-mata daripada dialog ikonik drama arahan arwah bapanya yang dipanggil Papa itu, tetapi menu itu satu ketika dahulu merupakan satu hidangan yang biasa dimakan oleh kanak-kanak di kantin sekolah.

“Menurut Papa, menu mi kari kuah laksa ini merupakan makanan yang biasa dipesan di kantin sekolah sekitar zaman 70-an. Zaman itu, kanak-kanak di sekolah akan memesan menu mi kuning yang biasanya dimakan bersama kuah kari, namun kuahnya itu diganti dengan kuah asam laksa,” katanya.

Nor Sara (kanan) mengusahakan kafe Ah Mat Kafe di Ipoh bersama suaminya, Amirul Ariff Abdul Wahab (kiri).

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober 2021 pada usia 58 tahun.

Antara filem popular arahan beliau termasuk Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang dan Rock.

Tambah Nor Sara lagi, ilham mewujudkan kafe itu juga adalah kerana didorong rasa rindu pada arwah bapanya itu yang merupakan seorang individu yang penyayang dan kelakar.

“Ilham mewujudkan restoran ini sejak lebih setahun lalu juga adalah kerana perasaan rindu yang teramat terhadap arwah Papa. Papa orangnya amat suka makan dan cara kami sekeluarga bonding atau menjadi lebih erat adalah menerusi makanan.

“Sejujurnya, saya rindu melihat arwah Papa yang seronok setiap kali dapat makan makanan kegemarannya, dan selalunya makanan paling disukainya itu adalah air tangan ibu kami.

“Saya tahu, ramai peminat Papa juga turut merinduinya dan oleh sebab itu, saya menjadikan Ah Mat Kafe ini sebagai tempat rindu bertamu,” kongsinya.

Ternyata, dialog itu bukan sekadar rekaan atau jenaka semata-mata kerana menu tersebut sebenarnya memang wujud dan menjadi menu paling disukai kanak-kanak sekolah pada 1970-an.

Tambah Nor Sara, selepas memperkenalkan menu itu kepada orang ramai, dia sama sekali tidak menyangka ia mendapat sambutan daripada pengunjung restorannya.

“Syukur apabila menu ini menjadi antara menu paling popular di sini.

“Rata-rata pelanggan dan pengunjung restoran memberitahu mereka terimbau kenangan sewaktu zaman kanak-kanak, apabila makan menu mi kari kuah laksa di sini.

“Padanan kedua-duanya cukup unik dan rasanya memang enak,” tuturnya.

Menyentuh mengenai Ramadan, Nor Sara berkata, menu itu turut dicari orang di restorannya.

“Ramai hendak mencuba. Bulan Ramadan ini, kami buka dari pukul 6 petang sampai 2 pagi, jadi orang boleh makan untuk berbuka, moreh dan early sahur,” katanya.

Selain menu tersebut, Nor Sara juga turut menghidangkan menu-menu masakan Melayu lain di restoran itu yang juga merupakan menu kegemaran arwah Mamat Khalid. Antaranya lempeng nyor atau lempeng kelapa, pulut

kuning bersama rendang Pak Munawer, cucur udang dan roti titab.

Selain itu, dia juga berhasrat untuk menambah lebih banyak menu yang merupakan juadah kegemaran arwah semasa kecil, sebagai menghidupkan lagi kenangan bersama pengarah filem hebat itu.

Dekorasi di restoran tersebut pula berkonsep vintaj dan dihiasi dengan poster-poster filem lama termasuk filem-filem arahan Mamat Khalid, gambar serta barang-barang tinggalan Allahyarham.

Pengunjung juga akan ditemani dengan lagu-lagu Melayu nostalgia dari zaman 70-an hingga 90-an yang menggamit kenangan.

Tambah Nor Sara, keputusannya untuk membuka restoran Ah Mat Kafe di negeri kelahiran bapanya itu adalah sebagai usaha untuk terus menghidupkan legasi yang ditinggalkan arwah Mamat Khalid sepanjang penglibatan beliau dalam industri filem tanah air.

“Saya berharap dengan cara ini, minat terhadap karya arwah akan terus berkembang mekar,” ujarnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN