fbpx
Ahmad menunjukkan udang galah yang berjaya ditangkap di Kampung Pagi, Jerantut semalam.

Udang galah ‘cepat lapar’ musim kemarau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Keadaan cuaca panas pada masa ini yang menyebabkan udang galah semakin ‘lapar’ dan mudah makan umpan membolehkan nelayan Sungai Tembeling meraih jumlah tangkapan yang banyak.

Nelayan sungai, Ahmad Omar, 59, berkata, kawasan perairan dan lubuk berdekatan kampung itu merupakan habitat udang galah yang lumrahnya dapat ditangkap ketika cuaca panas dan air cetek.

“Air sungai surut selepas musim tengkujuh bulan lalu, saya turun ke sungai ini, lagi pun saya tidak lagi menoreh getah kerana harganya tidak menentu.

“Kebiasaannya saya memasang jaring untuk menangkap ikan liar seperti ikan patin, ikan lawang, ikan baung dan sebagainya, tetapi saya memilih untuk memancing sambil berharap memperoleh rezeki untuk juadah tengah hari dan sekiranya berlebihan bolehlah dijual,” katanya di Kampung Pagi dekat sini semalam.

Menurut Ahmad, dengan keadaan cuaca yang panas, dia amat teruja apabila memperoleh 15 kilogram udang galah ketika memancing di Lubuk Lompat dan Lubuk Lenting pada sebelah petang.

Dia yang berpengalaman sebagai nelayan sungai selama 20 tahun berkata, tangkapan udang galah itu hanya menggunakan umpan cacing tanah.

“Sememangnya udang galah menjadikan habitatnya di kawasan lubuk dan berbatu, menakala kebiasaannya ketika air sungai surut (selepas banjir) atau waktu kemarau, hidupan ini (udang) keluar mencari makanan,” katanya.

Tambahnya, hasil tangkapan kira-kira 15 kilogram dijual kepada pengusaha pusat inap desa dan restoran di Taman Negara Kuala Tahan dengan harga RM80.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Pagi, Mi Hamidi Nipah, 56, berkata, Kampung Pagi antara salah sebuah destinasi pelancongan di Ulu Tembeling yang menjadi tumpuan pelawat domestik untuk memancing ikan air tawar termasuk udang galah.

Katanya, selain penduduk, ada pengunjung yang datang bermalam di pusat inap desa di situ turut turun memancing di Sungai Tembeling semata-mata untuk menangkap udang galah ketika air surut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN