fbpx
Gambar hiasan

Kaut RM20,000 jual tapak bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Tindakan peniaga dan penjaja makanan berlesen yang melakukan urusan sewaan tapak bazar Ramadan secara ‘ali baba’ kepada pihak lain menyebabkan mereka mampu meraih keuntungan lumayan sehingga puluhan ribu ringgit.

Modus operandi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah dengan ‘menjual’ semula tapak bazar yang disewa dari penganjur kepada peniaga bidan terjun pada harga berlipat kali ganda .

Difahamkan, keuntungan menerusi penjualan lesen ‘ali baba’ bazar Ramadan itu dikatakan lebih banyak berbanding hasil jualan perniagaan yang diperoleh mereka secara mingguan atau bulanan.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Persatuan Pasar Malam Melayu Pulau Pinang, ­Mohamed Anuar Awang berkata, situasi tersebut adalah perkara yang biasa berlaku setiap kali tibanya bulan Ramadan.

“‘Ali baba’ memang sudah lama berlaku, bertahun-tahun dahulu dan akan berlaku lagi tahun ini. Peniaga-peniaga yang mempu­nyai lesen atau permit perniagaan akan mencari peluang dan ruang untuk mereka mengaut keuntungan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

“Ada yang sanggup menyewa sehingga lima lokasi tapak bazar Ramadan di satu daerah dengan harga asal yang ditawarkan pe­nganjur bagi setiap tapak adalah sekitar RM500 hingga RM900 sebulan.

“Mereka (peniaga) ini akan ‘menjual’ semula tapak berkenaan kepada peniaga bermusim pada harga tinggi dengan keuntungan yang diperoleh sehingga 70 peratus iaitu maksimum RM20,000 sebulan (empat tapak) daripada modal asal yang dikeluarkan cuma kira-kira RM5,000,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya lagi, peniaga berle­sen ini dikesan hanya membuka sebuah gerai makanan atau minuman di bazar Ramadan, manakala yang lain dijual kepada peniaga-peniaga bermusim tersebut.

“Bukan itu sahaja, peniaga berlesen ini seolah-olah berniaga atas angin dan tidak perlu membayar sewa satu sen pun untuk tapak gerai yang diusaha­nya sendiri kerana mereka menggunakan hasil keuntungan orang lain (peniaga bermusim).

“Perkara ini banyak kali dibincangkan dengan pihak penganjur bazar Ramadan, namun mereka seolah-olah bersikap sambil lewa, janji urusan sewa tapak selesai dan sudah penuh.

“Peniaga-peniaga bermusim ini sudahlah tidak mempunyai lesen perniagaan, malah langsung tidak pernah mengikuti kursus pengendalian dan kebersihan makanan serta tidak mengambil suntikan typhoid.

“Apa yang dibimbangkan apa­bila berlalu isu keracunan makanan dan kecuaian dalam pe­ngendalian makanan di bazar Ramadan. Siapa yang harus dipersalahkan jika ini berlaku?” soalnya.

Justeru, Mohamed Anuar menggesa pihak penganjur bazar Ramadan di negeri ini supaya memperkenalkan kad kuasa kepada peniaga berlesen dan perlu ditampal di hadapan setiap gerai untuk mengenalpasti pemilik atau pengusahanya.

Di Alor Setar, Kedah, Gabu­ngan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema)­ Kedah mendakwa sebilangan peniaga kecil di negeri ini terkesan dengan kadar sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri yang tinggi serta amalan ‘ali baba’ yang dikatakan masih berlaku sehingga hari ini.

Yang Dipertuanya, Baharudin Mohamed Ali berkata, kadar sewa tapak bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri awam dan swasta bagi kawasan bandar dan tum­puan ramai bermula dari RM650 dan boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit.

“Ada juga peniaga yang mengambil kesempatan melakukan sistem ‘ali baba’ dan menawarkan tapak niaga kepada pemborong warga asing.

“Biasanya golongan ‘ali baba’ ini mengaut keuntungan dengan menyewa semula tapak tersebut dengan kadar 30 hingga 50 peratus lebih tinggi kepada peniaga warga asing,” ujarnya.

Jelasnya, Gapema ini telah menghantar surat untuk bertemu dengan pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan sewa tapak bazar.

“Antara isu yang kami mahu bincangkan adalah mengenai isu ‘ali baba’ dan sistem permohonan sewa tapak dalam talian yang perlu diperkemaskan.

“Isu ini penting bagi mengelak sebarang kepincangan ketika proses permohonan tersebut dilakukan,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN