PADA bulan April dua tahun lalu penulis pernah memandu uji sebuah kereta sport legenda Toyota GR Supra bertransmisi automatik.
Baru-baru ini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model GR Supra sekali lagi. Namun kali ini, unit pandu uji ini adalah bertransmisi manual.
GR Supra dengan transmisi manual enam kelajuan ini sebenarnya telah dilancarkan pada Februari tahun lalu.
Model generasi kelima dengan kod A90 ini menggunakan enjin 3.0 liter turbo enam silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 388PS pada 5,800 hingga 6,500rpm.
Tork tertinggi kereta sport ini mencapai 500Nm iaitu antara 1,800 hingga 5,000rpm.
Kelajuan maksimumnya di atas kertas ialah 250 kilometer sejam (km/j).
Penulis difahamkan, dari generasi ke generasi, identiti Supra masih dikekalkan dengan kedudukan enjinnya di hadapan dan pacuan roda di belakang.

Sistem suspensi pada bahagian depan unit ini daripada Double Jointed MacPherson Strut dengan Stabiliser Bar dan pada bahagian belakang pula Multi-Link dengan Stabiliser Bar yang membuatkan pengendalian GR Supra ini menjadi lebih mantap.
Brek GR Supra ini jenis Ventilated Disc dengan 4 piston Fixed Caliper pada bahagian depan, manakala belakang Ventilated Disc dengan 4 piston Floating Caliper.
Sistem brek ini dapat membantu kereta berprestasi seperti ini untuk berhenti. Lebih menarik pada caliper breknya ada logo Toyota Supra.
Dari segi luaran, tidak banyak berbeza dengan GR Supra terdahulu yang dilancarkan pada tahun 2019 lalu, antara yang berbeza ialah rekaan rim yang baharu bersaiz 19 inci dengan tayar hadapan 255/35, manakala tayar belakang 275/35.
Ciri-ciri luaran lain padanya adalah lampu utama Adaptive LED dengan lampu isyarat LED, lampu kabus LED, kombinasi lampu belakang LED dan ekzos berkembar.
Panjang GR Supra ini 4,379 milimeter (mm), lebar (1,854mm), tinggi (1,299mm) dan jarak antara roda (2,470mm).
Berat GR Supra manual ini 22 kilogram (kg) lebih ringan daripada GR Supra transmisi automatik yang mempunyai berat 1,600 kg (automatik).
Masuk ke ruang kabinnya, sebagai sebuah kereta sport sejati, hanya ada dua tempat duduk.
Ia dilengkapi sistem infotainment bersaiz 8.8 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar, 12 speaker JBL dan panel meter berskrin 8.8 inci.

Kedudukan butang-butang kawalan juga diletakkan pada tempat yang betul dan mudah untuk dicapai pemandu.
Antara ciri-ciri keselamatan yang hadir bersama jentera ini seperti sistem pemantauan tekanan angin tayar, Intelligent Parking Sensor, Emergency Braking Function dan Blind Spot Monitor dengan Rear Cross Traffic Alert.
Dari segi pemanduan, ia mudah untuk dikendalikan walaupun kereta ini sebuah jentera bertransmisi manual.
Sebagai contoh, sekiranya berhenti di lereng bukit, ciri-ciri seperti Hill Start Assist Control (HAC) membantu kita untuk memulakan pemanduan semula.
Kesimpulannya, Toyota GR Supra ini penulis lihat sebagai sebuah kereta sport berprestasi tinggi ikonik yang memberikan imej tersendiri kepada pemandunya.
Sistem suspensi yang telah diperkemas membuatkan pemanduan GR Supra 2023 ini menjadi lebih tegap dan memberikan keyakinan kepada pemandu.
Cuma pada harga yang ditawarkan bukan semua orang mampu membeli kereta sport ini. Kalau yang mampu pun, mungkin perlu berkira-kira tentang keperluan kerana hanya dua tempat duduk dan bertransmisi manual.
Pada saya, GR Supra transmisi manual ini mungkin sesuai untuk mereka yang mahukan kereta bersantai pada hari minggu, kereta bersukan di litar lumba dan pengumpul koleksi.














