fbpx

Fenomena hero kedua Kim Seon-ho

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIM SEON-HO

SIAPA sangka, dengan hanya memegang watak hero kedua atau pelakon pembantu, nama seseorang itu boleh meletup
seantero dunia.

Bukan sahaja melonjakkan secara tiba-tiba, bahkan jejaka kacak itu turut menjadi kegilaan ramai wanita di luar sana.

Dialah Kim Seon-ho, jejaka yang mencairkan hati ramai menerusi lakonan hebatnya sebagai Han Ji-pyeong dalam drama bersiri terkenal Start Up di samping Bae Suzy dan Nam Jo-hyuk.

Sebelum karya ini ditulis, ingatan penulis asyik teringatkan babak pergaduhan menyaksikan Ji-pyeong menumbuk hero utama, Nam Do-san lakonan Jo-hyuk.

BERMULA sebagai pelakon teater sejak 2009, debut televisen Seon-ho bermula pada 2017.

Babak tersebut tular selama beberapa hari dalam media sosial khususnya Twitter berikutan ramai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Do-san yang membelasah Ji-pyeong.

Jarang sungguh untuk melihat penonton menyebelahi watak hero kedua yang juga watak antagonis dalam sesebuah naskhah sehingga sohor kini dalam Twitter.

Bahkan, peminat drama tersebut juga mewujudkan ‘second lead syndrome’ iaitu sindrom atau kegilaan terhadap hero kedua sehingga mencetuskan fenomena #teamjipyeong dalam Twitter.

Bagi peminat, watak hero kedua sepatutnya mendapat pembelaan dan berhak merebut cinta sendiri. Begitulah yang dapat digambarkan tentang ‘demam Ji-pyeong’ yang sedang melanda media sosial ketika ini.

Mula dikenali menerusi drama Good Manager pada 2017 sebagai watak pembantu, Seon-ho tidak menyangka popularitinya naik mendadak ketika ini.

“Saya tidak pernah terfikir akan dikenali dengan begitu popular pada hari ini kerana watak Ji-pyeong.

“Pada awalnya saya menganggap watak Ji-pyeong sekadar peranan tambahan untuk menambah perisa dalam karya tersebut tetapi lain pula yang jadi, fenomena!,” luahnya dalam satu temu bual bersama Esquire Korea.

SEON-HO meraih kejayaan pertama pada 2017 menerusi kategori Pelakon Baharu Terbaik (Drama) pada 2017.

Terkenal dengan jolokan Dimple Prince (Putera Lesung Pipit), Seon- ho mengakui Start Up memberi satu perasaan berlainan berbanding drama lakonannya sebelum ini.

Menurut pelakon yang berasal dari Seoul, Korea Selatan itu, mulanya dia sedikit takut untuk menerima tawaran memegang watak Ji- pyeong naskhah berkenaan.

“Ketika mula-mula ditawarkan watak tersebut, memang saya sangat risau dan takut tidak mampu menjayakan peranan tersebut di samping pelakon utama, Bae Suzy dan Do-hyuk.

“Tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir, saya terus menerima dan hasilnya seperti yang anda lihat pada hari ini, hebat!,” katanya.

Ujar Seon-ho, watak Ji-pyeong sangat berbeza dengan personaliti sebenarnya.

“Dalam kehidupan sebenar, saya bukan seorang lelaki mempunyai lidah yang tajam iaitu bercakap perkara yang menyakitkan hati orang lain seperti Ji- pyeong.

“Tetapi jika anda menonton drama tersebut, pasti ramai akan mulai sedar betapa Ji-pyeong sebenarnya seorang jejaka berhati mulia dan jujur dengan orang sekeliling.

“Itu juga persamaan yang saya dapat kaitkan dengan diri saya sendiri secara realiti, kami berdua turut mempunyai cita-cita yang besar dalam kehidupan,” katanya lagi.

Bercerita tentang gandingan bersama Suzy dan Jo-hyuk dalam Start Up, Seon-ho semestinya tumpang lega.

Ujarnya, kedua-dua pelakon utama drama tersebut sangat hebat ketika beraksi di depan lensa kamera.

“Sepanjang menjalani pengambaran, saya menyerap segala ilmu daripada mereka yang sudah lama berkecimpung dalam dunia perfileman.

“Mereka tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan hasilnya, ramai yang memuji gandingan kami berjaya mewujudkan satu jalinan kimia yang sangat baik,” katanya.

Pelik

Sementara itu, pelakon berusia 34 tahun itu turut mendedahkan satu perkara yang mungkin pelik, tetapi hakikatnya dia merupakan pelakon yang tidak suka menonton lakonan sendiri.

Aktor yang pernah bergiat aktif di pentas teater itu mengakui, malu melihat dirinya melakonkan sesetengah watak dengan mimik muka yang pelik.

“Awal-awal dahulu, memang saya malu dan tidak sanggup menonton diri sendiri dalam mana-mana drama.

“Saya akan mula mempersoalkan 1,001 soalan tentang lakonan sendiri seperti mengapa tersenyum dan kenapa bercakap dengan intonasi sebegitu. Semuanya kelihatan dan kedengaran sangat pelik.

“Jujurnya tiada satu pun lakonan sendiri yang sangat membangga saya setakat ini,” katanya.

Bagaimanapun, sikap tersebut mulai pudar apabila dia menyedari keperluan menonton hasil kerja sendiri demi penambahbaikan dari pelbagai sudut.

“Kini saya mula menonton semua drama lakonan sendiri dan menilai setiap kekurangan yang ada.

“Situasi tersebut boleh diibaratkan memantau lakonan sendiri dan sangat membantu untuk lebih mengenali kelemahan dan kekuatan diri. Saya masih belajar, jadi pemantauan seperti itu sangat penting,” katanya lagi.

DALAM dunia sebenar, Seon-ho mengakui dirinya bukan seorang lelaki yang bermulut celupar.

Impian

Berkongsi tentang impiannya sebagai pelakon, cita-cita Seon-ho hanyalah satu, dia cuma ingin menjadi seorang anak seni yang ‘diinginkan’ oleh industri tanah airnya.

Katanya, untuk bergelar aktor hebat bukanlah perkara mudah terutama untuk terus diterima dalam industri hiburan.

“Setiap pelakon di dunia ini pasti mempunyai impian yang sama iaitu kekal hebat dan relevan, sama juga seperti saya.

“Namun saya juga ingin menjadi seorang pelakon yang sentiasa diinginkan oleh semua pihak iaitu ‘pelakon yang individu lain ingin bekerjasama semula’.

“Mungkin kedengaran sedikit pelik tetapi itu sasaran saya untuk lima tahun akan datang.

“Bagi saya, jika orang lain ingin bekerjasama semula dengan saya, bermaksud saya pernah berikan sesuatu yang berjaya memuaskan hati mereka,” tuturnya.

IMPIAN Seon-ho sebagai pelakon ialah dia mahu menjadi seorang anak seni yang sentiasa ‘diinginkan’ oleh industri tanah airnya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI