fbpx
Gambar hiasan

Minta anak-anak hafal talian 15999

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KES kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa serangan seksual semakin kerap didengari, malah yang paling menakutkan suspek yang terlibat bukanlah orang tidak dikenali, sebaliknya ahli keluarga sendiri.

Kelmarin, seorang lelaki berusia 27 tahun didakwa di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun. Mangsa merupakan anak saudara kepada suspek.

Sebelum itu pula, seorang bapa diberkas polis selepas dipercayai menodai anaknya sendiri berusia 16 tahun sehingga mangsa melahirkan seorang bayi di Hospital Melaka.

Di Jasin, berlaku kejadian di mana enam kanak-kanak dan remaja lelaki menjadi mangsa seorang lelaki pedofilia berusia 57 tahun yang mengumpan mangsanya menggunakan wang bernilai sekitar RM50 sehingga RM100.

Itu antara kisah-kisah jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak.

Pengalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kejadian yang berlaku itu merupakan satu penekanan dan peringatan kepada golongan penjaga untuk cakna mengenai ‘senarai’ pelaku utama.

Katanya, mengikut statistik dan fakta, ahli keluarga termasuk bapa kandung, bapa tiri dan bapa saudara merupakan antara pelaku utama dalam kebanyakan kes.

“Kebanyakan ibu bapa hanya memberi amaran kepada anak-anak untuk tidak mendekati orang tidak dikenali, tetapi ironinya predator sebenar dalam kalangan ahli keluarga.

“Golongan penjaga perlu cakna mengenai segala kemungkinan melibatkan individu tersebut, bukan setakat memberikan amaran,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai suspek pedofilia, beliau yang juga Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-kanak mengingatkan pihak penjaga untuk mengawal aktiviti sosial anak-anak termasuk di platform media sosial dan permainan video.

“Ahad lalu, Kementerian Pendidikan memberitahu akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

“Mungkin ada ibu bapa yang tidak bersetuju mengenai pengehadan ini, namun tindakan ini dilihat salah satu langkah pencegahan awal kepada kes-kes pedofilia yang menyasarkan kanak-kanak pada umur peringkat itu.

“Telah berlaku kes di mana mangsa atau anak-anak bawah umur ini berkenalan dengan suspek pedofilia melalui media sosial dan di ruangan chat dalam permainan video dalam talian sehingga mereka menjadi mangsa,” katanya.

Tambahnya, generasi muda itu juga perlu diberikan pendedahan yang lebih mengenai talian aduan iaitu Talian Kasih 15999.

“Minta anak hafal talian 15999 ini. Mangsa juga tidak semestinya perlu terus ke balai polis untuk melaporkan kejadian seksual itu.

“Mereka boleh ke hospital kerajaan di unit One Stop Crisis Centre (OSCC) untuk dibantu lanjut oleh pegawai perubatan dan pihak polis,” ujarnya.

Kamal berkata, peningkatan kes amang seksual yang berjaya diselesaikan bagaimanapun tidak boleh dijadikan kayu ukur bagi tahap keselamatan atau keharmonian wilayah itu, sebaliknya mencerminkan masyarakat yang semakin cakna dengan celik mengenai kesalahan dilakukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN