fbpx
Cheong (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran kerjasama antara Carnival dan Hwajing di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Nikmati menu halal di kapal persiaran Costa Cruises

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Syarikat pelancongan, Hwajing Travel & Tours (Hwajing) dan kapal persiaran milik penuh Carnival Corporation & plc, Costa Cruises Lines iaitu Costa Cruises dari Itali merintis potensi besar dalam industri pelancongan Islamik yang belum diterokai oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Kerjasama tersebut telah memberi peluang kepada pelancong beragama Islam untuk menjamu selera di restoran di atas kapal tersebut yang bertaraf halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Pengarah Urusan Hwajing, Kenny Cheong, idea untuk mewujudkan restoran halal di kapal Costa Cruises timbul di­sebabkan kebanyakan kapal antarabangsa tiada restoran halal dan ia menyukarkan pelancong-pelancong beragama Islam.

“Kami telah melaksanakan penyesuaian menyeluruh terhadap perkhidmatan dan tawarannya untuk memenuhi keperluan dan keutamaan pengembara Islam.

“Ini adalah untuk memastikan kami menawarkan pengalaman yang unik, mendalam dan inklusif untuk semua penum­pang.

“Hasilnya, pengalaman pelayaran yang disesuaikan ini telah menggabungkan unsur-unsur riadah, amal dan halalan toyyi­ban ke dalam ‘fabrik’ pelayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kerjasama antara Hwajing dan Costa Crui­ses di atas kapal persiaran, Costa Serena di Port Klang Cruise Terminal (PKCT), Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini baru-baru ini.

Restoran Vesta menawarkan hidangan makanan dan minuman yang menyelerakan dengan menampilkan 40 peratus hidangan Asia, seterusnya menjanjikan gabungan perisa yang menarik, termasuk menu sorotan seperti stik Tomahawk, gelato durian Musang King dan pencuci mulut yang menarik.

Cheong menerangkan, per­khidmatan yang diuruskan oleh Intratama Travel Consultant & Tours itu akan membolehkan penumpang diberi peluang me­libatkan diri dalam ku­liah dan bengkel Islamik, sekali gus meningkatkan pengalaman pelayaran keseluruhan mereka merangkumi aspek hubungan budaya dan rohani dengan lebih mendalam,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasa­ma dengan Costa Cruises, Cheong menjelaskan, pihak­nya terus berhubungan dan mengekalkan hubungan kerja yang erat dengan Costa Cruises meskipun dalam tempoh pandemik lalu.

“Apabila China menutup pelabuhan pada tahun 2020, kami tetap berinteraksi dengan harapan agar Costa Cruises dapat berlabuh di Malaysia.

“Namun, pada ketika itu, ia tidak menjadi kenyataan.

“Justeru, sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka se­mula, kami segera membawa­nya ke sini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pilihan strategik Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama Costa Serena yang memfokus kepada pelayaran Islamik, meletakkan Malaysia sebagai antara hab maritim antarabangsa.

Tambah Cheong, usaha ini akan melonjakkan ekonomi negara menerusi ketibaan pe­langgan antarabangsa yang pelbagai termasuk para pelancong dari negara Islam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN