fbpx
Penduduk Kuala Kepis Hilir di Kuala Pilah menunjukkan pintu yang diketuk dalam kejadian baru-baru ini.

Ketukan misteri, pengamal ilmu hitam mahu tunjuk hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Ketukan misteri yang berlaku di beberapa buah negeri sejak kebelakangan ini dipercayai berpunca daripada tindakan segelintir pengamal ilmu hitam yang mahu me­nunjukkan kehebatan mereka.

Perkara itu didedahkan seorang pengamal perubatan dikenali Muhammad Razali yang memaklumkan perkara berkenaan memang berlaku dalam kalangan pengamal ilmu hitam.

“Dari sudut perubatan Islam, saya melihat perkara ini adalah disebabkan mereka ingin menguji ilmu hitam yang diamalkan.

“Apabila ada kawasan berlaku ketukan misteri, pengamal di tempat lain juga ingin menunjukkan serta mempamerkan kehebatan ilmu di kawasan mereka,” katanya di sini semalam.

Katanya, faktor itulah yang menyebabkan berlakunya beberapa kejadian ketukan misteri sehingga mengganggu kehidupan harian penduduk.

Menurutnya, ilmu pukau juga termasuk dalam kategori sihir dan sebagai umat Islam, kita tidak boleh menolak sepenuhnya perkara seperti ketukan misteri yang berlaku di beberapa buah negeri.

“Bila menyentuh mengenai ilmu sihir, biasanya amalan itu menggunakan objek sebagai bahan perantaraan. Ilmu pukau juga adalah sebahagian daripada ilmu sihir.

“Pengamal ilmu pukau ini biasa­nya berdamping dengan jin dan akan menyebabkan mangsa menjadi leka, tidak menyedari apa dilakukan dan menurut sahaja kata-kata pelaku,” jelasnya.

Katanya lagi, pendedahan orang ramai dalam media sosial sebenarnya perlu dilihat dari sudut positif kerana mereka perlu mengetahui mengenai keberadaan pengamal ilmu hitam di sesuatu kawasan tersebut.

“Dalam kejadian sebegini, ia sebenarnya satu isyarat kepada kita untuk terus mendekatkan diri dengan Allah dan memperbanyakkan amalan seperti membaca al-Quran dan sebagainya,” tambahnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa siri kejadian ketukan pintu yang berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Perlis sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN