JIKA anda peminat tegar filem Bollywood, pasti pernah menonton filem romantik Dil To Pagal Hai yang dibintangi Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit dan Karisma Kapoor.
Naskhah yang ditulis dan diarahkan sutradara tersohor Yash Chopra itu menjadi filem terlaris pada 1997. Namun, sebelum filem itu diterbitkan, Yash menghadapi kesukaran mencari pelakon bagi watak Nisha yang akhirnya menjadi milik Karisma.
Menurut Karisma, ramai pelakon wanita berasa gerun untuk menggalas watak tersebut apabila perlu berkongsi layar dengan Madhuri Dixit yang ketika itu dianggap antara penari terbaik Bollywood.
Filem Dil To Pagal Hai memerlukan babak tarian yang mencabar, termasuk persaingan tarian antara Nisha dan Pooja lakonan Madhuri.
Karisma mendedahkan ramai aktres tidak mahu mengambil risiko kerana bimbang akan dibandingkan dengan kehebatan Madhuri dalam tarian.
Menariknya, keputusan Karisma menerima watak tersebut menjadi salah satu detik terbesar dalam kerjayanya. Persembahan Karisma sebagai Nisha mendapat pujian ramai sekali gus membuktikan watak yang pada awalnya dianggap berisiko mampu menjadi salah satu karakter paling diingati dalam sejarah Bollywood.
Hasilnya, Karisma berjaya menggondol anugerah tertinggi di India iaitu National Award bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Kini, selepas hampir tiga dekad, Dil To Pagal Hai kekal tercatat sebagai karya ikomik Bollywood, manakala kisah ramai aktres menolak watak Nisha menjadi contoh bahawa dalam industri hiburan, satu keputusan boleh mengubah seluruh perjalanan karier seseorang bintang. Berikut adalah senarai aktres popular yang menolak watak Nisha hanya kerana gerun memikirkan aura regu gandingan.

Juhi Chawla
Aktres jelita ini merupakan antara heroin kesayangan Yash Chopra. Namun, Juhi menolak tawaran melakonkan watak Nisha kerana tidak mahu menjadi pelakon pembantu di samping Madhuri.
Menurut Juhi, namanya ketika itu sudah besar dan setanding Madhuri. Dia seharusnya membawa watak utama, bukannya pembantu.
Selepas beberapa tahun, Juhi menyesali keputusannya dan mengakui dirinya terlalu ego.

Kajol
Sering digandingkan dengan Shah Rukh Khan, Kajol menyifatkan watak pembantu dalam filem Dil To Pagal Hai kurang sesuai dengannya.
Kajol juga berasakan watak Nisha tidak penting dan tidak berminat beraksi dalam filem yang menuntutnya untuk menari dengan serius.

Raveena Tandon
Sama seperti Kajol, Raveena juga berasakan watak Nisha terlalu kecil untuknya. Dia juga enggan dibandingkan dengan Madhuri.
Pada masa sama, Raveena dikatakan sedang merancang untuk berhenti berlakon.

Manisha Koirala
Aktres kelahiran Nepal ini mengakui menolak watak Nisha kerana enggan dibandingkan dengan Madhuri.
Sama seperti Juhi, Manisha berasa menyesal menolak watak itu apabila Dil To Pagal Hai meraih kutipan pecah panggung.

Urmila Matondkar
Berbeza dengan yang lain, Urmila sebenarnya bersetuju untuk melakonkan watak Nisha tetapi menarik diri selepas hari pertama penggambaran.
Menurut Urmila, dia berasakan watak Nisha terlalu berani dan tidak jauh berbeza dengan wataknya dalam filem Rangeela.














