fbpx
KUMPULAN Margasatwa selesa dalam radar muzik nusantaranya yang disifatkan tidak mengejar untuk berada dalam aliran arus perdana selain bukan sebagai band indie.

Margasatwa bangga dilabel syok sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA diikutkan, Margasatwa bukan lagi nama asing dalam arena muzik tanah air.

Entah di mana kurangnya, karya yang diperjuangkan band yang bernaung di bawah Luncai Emas Sdn. Bhd. itu masih belum benar-benar menembusi tembok pasaran muzik semasa selain memenuhi kehendak ramai.

Tidak pernah sekali pun kumpulan yang dianggotai lima jejaka, Kimal di posisi vokalis, Shadiq (bass), Fadhil (gitar), Sammy (gitar) dan Syahir sebagai pemain dram berasa tersisih dek kurang perhatian tentang mereka.

Memang menjadi impian semua penyanyi untuk muzik mereka diterima khalayak tetapi bagi Margasatwa, memiliki kelompok peminat sendiri sudah cukup untuk dibanggakan.

Enggan menjadikan segala hal tersebut sebagai batu penghalang untuk terus mara, Margasatwa terus memacu haluan dengan meluncurkan sebuah single baharu berjudul Kasa Rubia.

Pertama kali mendengar Kasa Rubia pada majlis pelancaran baru-baru ini, penulis seperti sudah jatuh cinta. Bahagian korusnya tidak berhenti terngiang-ngiang dalam kepala.

Muzik gabungan pop dan rock klasik tersebut tidak terlalu berat untuk didengar, mudah melekat dalam kepala. Sejujurnya agak jauh berbeza daripada karya yang pernah dihasilkan Margasatwa sebelum ini.

Begitulah penangan magis Kasa Rubia yang merupakan hasil ‘air tangan’ Kimal dan susunan muzik yang dihasilkan oleh Margasatwa serta penyanyi, Loque selaku penerbit bersama.

KUMPULAN yang dianggotai lima jejaka, Kimal di posisi vokalis, Shadiq (bass), Fadhil (gitar), Sammy (gitar) dan Syahir sebagai pemain dram ini tidak pernah berasa tersisih dek kurang perhatian tentang mereka.

Menurut Kimal, Kasa Rubia merupakan lagu pertama dilancar bagi album kedua yang jangka menemui peminat pertengahan tahun ini.

“Sepanjang tempoh penghasilan Kasa Rubia, ada antara kami yang melalui episod kematian orang yang tersayang.

“Maka seluruh jiwa dan raga serta air mata telah disertakan bersama lagu Kasa Rubia untuk dijiwai khalayak,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Menghurai maksud tersirat di sebalik lagu tersebut, Kimal berkata, Kasa Rubia merupakan sejenis kain yang digunakan untuk membuat kebaya nyonya.

Kain jenis kasa rubia adakalanya dilihat jarang dan boleh menembusi sehingga menampakkan bahagian dalam.

“Kasa Rubia sebenarnya sebagai satu simbolik untuk melihat tembus daripada permukaan kehidupan dan keindahan sesuatu perkara atau makhluk untuk mencari sesuatu yang tersirat.

“Lagu ini juga mengangkat mesej pemerkasaan wanita menerusi kebaya nyonya yang memang digayakan sehingga hari ini.

“Baju tradisional wanita lain kerap digunakan dalam pelbagai karya seni tetapi jarang orang memperkatakan tentang kebaya nyonya,” tuturnya.

MESKIPUN jenis muzik mereka kerap dipertikai, fesyen era 1960-an yang digayakan Margasatwa sering mencuri perhatian ramai dan menuai pujian ramai. – M. FIRDAUS JOHARI

Tambah Kimal, lirik Kasa Rubia turut memperincikan aksesori yang sering menjadi pelengkap gaya wanita Peranakan atau Baba Nyonya.

Dia juga lebih suka jika para pendengar dapat menafsirkannya mengikut kefahaman masing-masing kerana akan lebih bermakna.

“Kehidupan dan muzik punyai persamaan, kedua-duanya perlukan harmoni.

“Saya menyerahkan kepada pendengar untuk membuat penilaian dan meletakkan pemahaman mereka sendiri untuk Kasa Rubia,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Kimal juga teruja berpeluang menjalin kerjasama dengan Loque yang dilabelkan sebagai sangat penyabar kerana boleh ‘hadap’ tahap kecerewetan semua anggota Margasatwa.

“Apabila ingin memberikan yang terbaik, tahap cerewet kami memang tinggi.

“Banyak perdebatan berlaku hanya untuk menghasilkan sebuah lagu sahaja. Realitinya, perkara tersebut bagus kerana idea-idea itu yang membantu melahirkan sebuah karya hebat.

“Loque banyak memberi nasihat dan komen, selain menilai sama ada idea yang kami berikan okey atau tidak,” tutur Kimal atau nama penuhnya Mohd. Akmal Hakim Mokhtar.

Melihat semula lagu-lagu dihasilkan adakalanya melawan arus muzik pasaran semasa, Margasatwa berpendapat itu merupakan identiti mereka.

SELAIN merangkul anugerah, Margasatwa turut mengimpikan status sebagai sebuah band legenda dan sebuah konsert solo sendiri.

Syok sendiri

Tidak mengejar keberadaan dalam pasaran ‘mainstream’ adalah prinsip yang dipegang mereka sejak hampir sedekad bergelar anak seni.

Bahkan, mereka yang sebelum ini popular menerusi lagu Ego mengakui kerap dilabel sebagai ‘band syok sendiri’ kerana jenis muzik yang diketengahkan.

“Kami memang pentingkan elemen syok sendiri. Seorang pemuzik itu perlu ada sifat tersebut dan pelik jika tiada perasaan tersebut.

“Kalau tidak syok sendiri, pastinya karya yang dihasilkan lebih kepada ingin mengaut keuntungan semata-mata atau mempunyai agenda lain dan bukannya untuk berkarya,” kata Fadhil.

Tegas Fadhil, mereka sangat mementingkan nilai estetik dan identiti muzik dalam setiap karya yang dihasilkan.

“Kami utamakan apa yang kami suka berbanding apa yang orang mahu dengar.

“Kalau kami tak suka karya sendiri, bagaimana untuk serahkan jiwa sepenuhnya pada lagu tersebut dan membuat orang suka untuk mendengarnya?

“Sekiranya pendengar boleh mengesan lagu kami ada unsur syok sendiri, mereka memang bijak,” katanya lagi.

Fadhli bagaimanapun berkata, mereka masih dalam tahap yang sepatutnya bagi menghasilkan sesebuah lagu dan bukan sekadar ‘syok sendiri’.

“Kami amat titikberatkan kepelbagaian muzik dan bunyi dalam setiap lagu.

“Elemen tersebut yang menjadikan sesebuah karya milik Margasatwa hasilkan bertambah ‘manis’ dengan adanya warna-warni elemen muzik seperti pop, klasik rock, tradisional dan sebagainya,” tuturnya.

TIDAK pernah terfikir mengubah haluan muzik, Margasatwa selesa memperjuangkan muzik era 1970-an dan 1980-an yang disifatkan unik serta lari daripada kebiasaan.

Kecaman

Bukan sahaja kerap dilabel syok sendiri, Margasatwa juga tidak terlepas daripada dihujani komen negatif orang ramai yang mempertikai identiti dan jenis muzik diperjuangkan mereka.

Kata Syadiq, mereka tidak pernah terkilan atau makan hati dek semua komen pedas selama ini. Merajuk daripada terus menghasilkan karya juga jauh sekali.

“Memang kami ada terima komen-komen negatif dan tidak kecil hati pun tetapi lebih kepada geli hati.

“Paling lucu, ada yang menyamakan wajah Kimal seperti pelakon Opie Zami selain mempertikai jenis muzik yang kami bawa.

“Tidak marah pun. Kecaman pun sudah cukup membuktikan kewujudan muzik kami disedari ramai.

“Hakikatnya perkara sebegitu membuat kami lebih bersemangat untuk hasilkan karya lebih hebat dan mampu memberi impak pada industri muzik tempatan,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, mereka juga menyuarakan keterbukaan menjalin kerjasama seperti berduet dengan mana-mana penyanyi dan band tanah air lain.

“Kami terbuka menerima sebarang kolaborasi untuk melebarkan lagi sayap muzik Margasatwa.

“Sekiranya berjaya menemui keserasian tersebut, insya-Allah akan hasilkan lagu duet pula,” katanya yang melahirkan minat untuk berduet dalam sebuah lagu dengan Loque satu hari nanti.

VOKALIS Margasatwa, Kimal yang sering dikatakan memiliki wajah persis pelakon Opie Zami juga enggan terasa hati dengan skeptikal khalayak terhadap muzik dan identiti muzik kumpulan yang bernaung bawah Luncai Emas itu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN