BAGAN SERAI – Perkhidmatan ejen nikah Siam untuk urusan perkahwinan pasangan negara ini di selatan Thailand, terutamanya di Songkhla kurang mendapat sambutan berikutan peningkatan nilai mata wang baht berbanding ringgit pada masa ini.
Keadaan itu memberi kesan secara langsung kepada ejen-ejen terbabit kerana terdapat pasangan yang memilih untuk pergi sendiri ke Thailand bagi menjimatkan perbelanjaan mereka.
Seorang ejen nikah Siam, Akmal Saba Teh, 48, berkata, pada tahun lalu, di kawasan Perak Utara, dia menguruskan lebih 30 pasangan bagi membawa mereka ke selatan Thailand berpoligami, tetapi sepanjang tahun ini dia hanya mendapat 12 orang pelanggan.
“Kebanyakan pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan khususnya untuk berpoligami akan pergi sendiri ke negara jiran itu.
“Ini disebabkan peningkatan kos yang berlaku berpunca dari kedudukan nilai mata wang Bhat yang lebih tinggi berbanding ringgit,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia menyediakan pelbagai pakej pilihan untuk pasangan yang ingin bernikah di Songkhla.

Ujarnya, dia mengenakan bayaran sebanyak RM2,800 untuk pakej dua hari satu malam kepada pasangan yang berhajat (bernikah di Thailand) dan bayaran itu meliputi keseluruhan kos termasuk perjalanan, upah nikah, urusan pendaftaran di Konsulat Malaysia, penginapan serta makan minum sebanyak dua kali sehari.
“Bercakap soal upah nikah, kami biasanya menerima sebanyak RM300 sebagai upah,” katanya.
Seorang lagi ejen nikah Siam, Mohd. Zaidi Razali, 42, berkata, kebanyakan ejen yang menyediakan perkhidmatan seperti itu menghadapi masalah sama iaitu kekurangan pelanggan dan terpaksa bersaing antara satu sama lain.
“Ada ejen menawarkan harga serendah RM2,500 untuk dua hari satu malam bagi satu pasangan sebagai daya penarik untuk pelanggan menggunakan khidmat mereka.
“Bagaimanapun, pelanggan tidak menyedari bahawa mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk kos penginapan serta makan dan minum kerana harga yang ditawarkan itu hanyalah untuk pembayaran pernikahan dan urusan di konsulat sahaja,” katanya.
Mohd. Zaidi berkata, kini ramai ejen yang mempromosikan khidmat mereka melalui platform media sosial, terutamanya aplikasi TikTok dengan pelbagai tawaran harga bagi menarik pelanggan.














