fbpx
Zulkifli (kiri) pada bersama Muhammad Mursyid pada majlis pelancaran buku Umrah DIY di Shah Alam baru-baru ini.

Buku Umrah DIY beri kefahaman kepada jemaah di Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bersandarkan pengalaman yang meluas dalam industri umrah dan haji, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah melancarkan buku Umrah DIY, panduan ibadah mudah dan selamat kepada masyarakat.

Buku yang dihasilkan dengan kerjasama Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn. Bhd., Muhammad Mursyid Abu Hassan itu telah berada di pasaran sejak bulan ini khusus buat mereka yang memi­lih untuk melaksanakan ibadah secara sendiri (DIY) tanpa mendapat bimbingan daripada ejen umrah dari Malaysia atau dari Mekah dan Madinah.

Zulkifli yang mengambil masa lebih daripada tiga bulan untuk mengumpul bahan bagi penghasilan buku berharga RM25 senaskhah itu menggunakan pendekatan menghimpunkan pelbagai soalan yang sering di­tanya jemaah umrah DIY dan disediakan jawapan yang lengkap untuk pengetahuan pembaca.

“Kami hasilkan buku poket seperti ini bertujuan untuk memudahkan mereka yang merancang untuk melaksanakan ibadah umrah secara DIY terutama sekali buat mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci,” katanya pada majlis pelancaran buku tersebut di sini baru-baru ini.

Zulkifli yang pernah menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, umrah DIY kini menjadi trend dan berleluasa kerana jemaah mudah memperoleh segala ilmu, akti­viti dan ibadah yang dijalankan di media sosial.

“Mereka yang tidak cukup pengalaman menganggap me­lakukan umrah secara DIY dapat mengurangkan kos perbelanjaan tetapi apabila jemaah berdepan dengan masalah ketiadaan bilik hotel, kesakitan atau kecederaan yang dihadapi secara mengejut, maka kemungkinan bajet anda akan secara tidak langsung me­ningkat berkali ganda.

“Adalah lebih baik, bagi mereka yang kali pertama mengerjakan umrah, digalakkan untuk mendapatkan perkhidmatan daripada mutawiff dan mutawiffah dari Malaysia atau dari Mekah atau Madinah,” jelas beliau.

Tambah Zulkifli, salah satu kekangan atau cabaran bagi mereka yang melaksanakan umrah secara DIY adalah jemaah sering kali keliru tentang rukun dan adab mengerjakan umrah kerana mereka tiada tempat untuk membuat rujukan dan bertanya soalan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN