fbpx
Gambar hiasan

Wanita bujang senja takut nak kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cerita rumah tangga hancur, perceraian dan sibuk menjaga ibu bapa sakit selain mengejar kerjaya merupakan antara faktor yang menyebabkan sebahagian wanita enggan berkahwin hingga mendapat gelaran wanita bujang senja.

Bukan itu sahaja, isu yang kerap berlegar di negara ini terutama mengenai penyondol, poligami dan penderaan menguatkan lagi tekad mereka untuk kekal solo walaupun telah mempunyai kemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

Seorang wanita bujang senja dikenali sebagai Hawa, 55, berkata, dia trauma dengan lelaki selepas pertunangannya tidak menjadi sebanyak tiga kali.

Katanya, persiapan untuk ­majlis pertunangan bagaikan tiada makna apabila kesemua bakal suaminya itu ‘ghaib’ tanpa dikesan.

“Mereka tarik handbrake tanpa alasan kukuh dan saya rugi puluhan ribu ringgit kerana semua majlis itu diatur oleh pihak perempuan.

“Calon pertama tinggalkan saya yang berusia 31 tahun ketika itu dengan alasan mahu bekerja di luar negara, manakala lelaki kedua dan ketiga pula terus hilang tanpa berita empat tahun kemudian,” katanya kepada ­Kosmo! Ahad.

Menurut bekas pegawai kerajaan itu, kejadian ketiga merupakan paling menyedihkan kerana segala persiapan dan barang hantaran balas pertunangan te­lah siap dan semua ahli keluarga sudah berkumpul.

Tambahnya, hatinya berkecai apabila keluarga bakal tunang menghubunginya pada malam sebelum majlis memaklumkan lelaki itu telah lari dan gagal dihubungi.

“Saya terkejut dan trauma sehingga sekarang. Saya dan ahli keluarga terpaksa menanggung malu. Bermula saat itu saya te­lah menutup pintu hati kepada mana-mana lelaki,” katanya yang kini bahagia membesarkan anak saudaranya.

ADA sebahagian wanita yang takut untuk berkahwin dan lebih gemar bersendirian kerana bimbang dengan pelbagai masalah rumah tangga. – GAMBAR HIASAN

Seorang wanita dikenali sebagai Noor, 45, berkata, dia tidak berkahwin kerana mahu menjaga ibu bapanya yang uzur sehingga meninggal dunia pada tiga tahun lalu selain sibuk mengejar kerjaya.

“Saya seorang anak yang belum berkahwin dan menetap bersama ibu bapa kerana mahu menggalas tanggungjawab menjaga mereka. Walaupun masih bujang tetapi saya puas dapat berbakti sehingga akhir hayat mereka,” katanya.

Ujar pegawai kerajaan itu, dia tidak menyesal dan menyerahkan urusan jodoh kepada Allah SWT kerana dia boleh menum­pang kasih sayang dengan saudara dan anak buahnya.

Sementara itu, seorang eksekutif pemasaran dikenali sebagai Lisa, 41, berkata, dia belum bernikah kerana bimbang tidak mampu menjadi isteri dan ibu daripada segi mental dan fizikal.

“Ketika berusia 20-an saya pernah ada teman lelaki dan merancang untuk disatukan tetapi ketika itu kami merasakan belanja untuk berkahwin itu sa­ngat mahal.

“Keluarga tidak bersetuju untuk membuat majlis ringkas kerana mahu bakal suami berusaha mencari duit dan menunjukkan komitmen. Bila ada campur tangan begini, akhirnya kami berpisah dan saya tidak lagi ada hubungan dengan mana-mana lelaki,” katanya.

Menurut Lisa, pengalaman rumah tangga rakan-rakannya yang berdepan pelbagai masalah juga membuatkan dia takut untuk berkahwin.

“Macam-macam cerita saya dengar daripada kawan-kawan, soal duit, hati, perasaan, suami dan diri sendiri yang hendak dijaga. Saya rasa saya tak boleh hendak hadap semua itu.

“Sekarang ini usia saya sudah 40-an. Memang lagi susahlah nak dapat pasangan. Mula-mula saya sedih juga, tetapi saya cuba berdamai dengan takdir. Buat masa sekarang ini, Alhamdulillah saya gembira hidup sendiri,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN