SUASANA studio seni itu yang tenang pada petang Jumaat lalu membolehkan Mohd. Ashraf Abdul Kassim, 27, dan Nur Effa Idayu, 25, menghabiskan masa berdua dengan mencuba satu aktiviti seni baharu.
Selepas satu jam, dua biji patung beruang bersaiz sederhana dipanggil bearbrick yang ada di hadapan mereka berjaya diwarnakan dengan kreativiti sendiri menerusi aktiviti bearbrick painting art itu.
Aktiviti tersebut merupakan salah satu daripada tiga aktiviti berasaskan seni yang ditawarkan oleh sebuah studio seni baharu di ibu kota iaitu Motion Studio Asia.
Ia menghasilkan karya-karya seni abstrak melalui pelbagai cara mengikut ekspresi pengunjung.
Studio yang terletak di antara pusat beli-belah Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall itu merupakan studio seni pertama di Malaysia yang menawarkan tiga jenis seni baharu yang diinspirasikan daripada pelbagai jenis gerakan berbeza atau lebih dikenali sebagai art jamming.
Tiga seni itu ialah motion art, splat art dan bearbrick painting art yang antaranya melibat pergerakan membaling, menembak dan memutar cat untuk menghasilkan karya di dinding, kanvas atau patung beruang.
Kongsi Mohd. Ashraf, dia dan Nur Effa yang kedua-dua berasal dari Kuching, Sarawak, terbang ke ibu kota untuk menghadiri majlis konvokesyen Nur Effa dan pada masa yang sama mencari aktiviti menarik untuk dibuat bersama sepanjang berada di Kuala Lumpur.
“Memandangkan bakal habiskan masa selama beberapa hari di sini, maka saya pun mencari-cari aktiviti menarik yang boleh kami lakukan bersama.
“Kebetulan, kami mendapat tahu tentang aktiviti seni yang ditawarkan di Motion Studio Asia ini menerusi media sosial dan berminat untuk mencubanya,” katanya kepada K2.
Mohd. Ashraf berkata, tarikan utama yang ada pada aktiviti seni di Motion Studio Asia adalah kerana ia bersifat bebas dan sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai asas dalam seni halus.
“Jika dilihat, kebanyakan studio seni sedia ada kini lebih sesuai untuk mereka yang sekurang-kurangnya sudah mempunyai asas seni seperti melukis dan mewarna. Ia ada kalanya membuatkan seseorang seperti saya berasa agak segan untuk mencuba aktiviti ditawarkan memandangkan saya tidak mempunyai bakat seni tertentu.
“Begitu pun, di sini, ia sedikit berbeza memandangkan tiada peraturan khusus dan sesiapa sahaja boleh mencuba aktiviti di sini dan hasilkan karya seni mereka yang tersendiri, sesuai kreativiti masing-masing,” ujarnya.
Motion Studio Asia membuka pintunya kepada pengunjung pada 1 November lalu.

di studio itu.
Ia diasaskan oleh seorang usahawan kelahiran Indonesia, Ricardo Sentosa yang jatuh cinta dengan teknik menghasilkan karya seni berasaskan beberapa gerakan berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Ricardo amat mengagumi artis seni abstrak terkenal, Callen Schaub yang banyak menghasilkan seni daripada cat menerusi pelbagai gerakan berbeza, justeru mengambil inspirasi daripada jejaka kelahiran Kanada itu dalam menubuhkan Motion Studio Asia.
Buat masa ini, studio tersebut menawarkan tiga jenis aktiviti seni untuk dicuba pengunjung.
Pegawai Pemasaran Motion Studio Asia, Siti Nurfarisha Jaafar berkata, jenis-jenis seni itu merupakan sesuatu yang baharu di negara ini dan cukup menarik untuk dicuba memandangkan ia sudah pun popular di negara-negara lain, namun masih baharu di Malaysia.
“Bagi seni jenis bearbrick painting, ia adalah teknik mengecat patung beruang mengikut kreativiti sendiri.
“Setiap pengunjung akan diberi satu patung beruang berwarna putih, bersama cat warna pilihan dan juga sebatang berus.
“Splat art pula adalah gerakan mencelup berus ke dalam cat warna lalu ‘membalingnya’ ke arah dinding bagi menghasilkan satu karya seni bersifat abstrak.
“Selain gerakan membaling cat dengan berus, ia juga boleh dilakukan secara mengisi cat ke dalam belon sebelum melepaskannya ke arah dinding atau mengisi cat warna ke dalam pistol cat dan menembak cat tersebut ke arah dinding,” katanya.
Motion art pula melibatkan seni yang dibuat di atas sebuah papan kanvas yang sedang berpusing.
“Pengunjung akan diberikan satu meja berbentuk bulat bersama kanvas lukisan yang diletakkan di atas meja tersebut.
“Meja tersebut kemudiannya akan dipusingkan dalam kelajuan sederhana dan ketika sedang berpusing, cat warna akan dituang ke atas kanvas tersebut bagi menghasilkan karya seni yang unik,” kata Siti Nurfarisha.
Selain bersifat ekspresif, karya seni sebegini mampu menghilangkan tekanan, seterusnya bertindak sebagai terapi seni.
Jelas Siti Nurfarisha, ramai pengunjung yang memberitahu mereka seronok apabila berpeluang untuk bermain dengan cat warna dan melepas geram menerusi aktiviti yang ditawarkan.
“Studio ini dibuat khusus untuk mereka yang mahu mengekspresi diri, sama ada bersama rakan-rakan atau pun golongan introvert yang mahu bersendirian.
“Pada masa sama, mereka juga tidak perlu bimbang untuk membersihkan ruangan yang mungkin sudah ‘kotor’ dengan cat.
“Selepas memilih aktiviti yang mahu dicuba, pengunjung boleh mengambil tempat dan bebas melakukan apa saja mengikut kreativiti masing-masing memandangkan dalam seni abstrak sebegini, tiada kaedah yang betul dan tiada kaedah yang salah,” katanya.
Motion Studio Asia dibuka dari pukul 10 pagi sehingga 7 malam setiap Ahad sehingga Khamis, manakala pukul 10 pagi sehingga 9 malam pula bagi hari Jumaat dan Sabtu.
Selain itu, Motion Studio Asia juga turut menawarkan pakej istimewa buat pengunjung yang berhasrat untuk melakukan aktiviti team building syarikat atau majlis keluarga sambil menghasilkan karya seni yang tersendiri.
Jelas Siti Nurfarisha, mereka juga mempunyai perancangan untuk menambah dua lagi lokasi studio tersebut kelak, bagi membolehkan lebih ramai orang untuk datang dan mencuba aktiviti tersebut.
















