fbpx
Sweet Qismina bersama suami tersayang, Adam Lee.

Yakin tak curang, Sweet Qismina ‘pantau’ suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 24 Oktober ini, genap setahun pasangan selebriti Sweet Qismina dan Adam Lee mengikat janji untuk sehidup semati sebagai suami isteri.

Bahtera yang dilayari masih mewangi, sama seperti hari pertama kedua-dua mereka sah disatukan sebagai pasangan sejoli.

Tiada apa yang mampu diucapkan oleh mereka selain rasa syukur. Walaupun usia perkahwinan diibaratkan baru ‘setahun jagung’, namun atas kasih sayang dan saling mencintai akan membawa hubungan mereka sehingga ke mati.

Kunci bahagia pasangan itu cuma satu, iaitu saling mempercayai antara satu sama lain. Baik Sweet mahu pun Adam, kedua-dua mereka cuba mengelak daripada membentuk rasa cemburu, lebih-lebih lagi sewaktu dalam lapangan kerja.

Sweet Qismina atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, dia meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap suami. Begitu juga sebaliknya.

Saling percaya

Kata Sweet, dia percaya bahawa suaminya itu tidak akan terpalit dengan kontroversi ‘cinta lokasi’ seperti yang pernah hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini dalam industri seni hiburan.

“Saya mengenali suami sebelum kami masih belum bercinta lagi dan tahu tentang sikapnya ketika bekerja.

“Kami kenal pun ketika di lokasi penggambaran. Jadi saya tahu karakternya bagaimana. Mengenali Adam, dia seorang yang sangat fokus pada kerja. Dapat sahaja skrip, dia akan buat homework. Itu sahaja,” ujar wanita bertubuh genit itu.

Bukan niat mahu ‘melambung tinggi’ suami sendiri, aktres berusia 26 tahun itu turut bersyukur kerana suaminya juga bersikap jujur (telus) dan akan memberitahu kegiatannya pada setiap hari.

SWEET QISMINA enggan dilabel isteri kuat cemburu kerana percaya dengan ketaatan suami terhadap dirinya sebagai seorang isteri. – AMIN AZMAN

“Setiap hari dia akan beritahu kegiatannya apa yang berlaku.

“Sebab itu saya percayakan suami dan tidak pernah terfikir dia akan buat perangai untuk ‘menggatal’ di set penggambaran,” kata Sweet.

Adam pula memberitahu, dia sedaya upaya akan cuba untuk menjaga nama keluarga sebaik mungkin daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

“Saya cuba untuk menjaga keluarga sebaik mungkin. Saya dengan dunia saya sahaja. Main sukan Muay Thai, bersenam dan berlakon,” katanya sambil meninggalkan senyuman paling manis buat permaisuri hatinya saat diwawancara.

Sweet seronok mengacara

Pada masa sama, Adam juga tidak pernah meletakkan sebarang sekatan terhadap Sweet ketika berlakon, namun berharap agar wanita itu faham tentang statusnya sebagai seorang isteri.

“Perkara ini kami sudah bincang sejak sebelum berkahwin lagi.

“Tak ada masalah pun sebab isteri pun tahu batas apa yang patut dan apa yang tidak patut,” ujarnya.

Beralih kepada kerjaya masing-masing, Sweet kini sibuk dengan persiapan untuk menjalani penggambaran sebuah filem bergenre seram dalam masa terdekat.

Pada masa sama, pelakon yang mula bergiat aktif sejak zaman kanak-kanak itu mahu mendalami lagi bidang pengacaraan televisyen.

Walaupun pernah menjadi sasaran netizen susulan insiden kesalahan pengumuman nama pemenang pertandingan Bintang Kecil 2023 bulan lalu, perkara itu tidak membuatkan Sweet trauma atau berputus asa untuk memperbaiki kesilapannya.

“Insiden sewaktu saya tersalah mengumumkan nama pemenang sewaktu pertandingan Bintang Kecil 2023 lalu tidak membuatkan saya trauma.

“Saya mahu mengasah lagi bakat dan kekurangan dalam bidang pengacaraan. Saya memang berbesar hati untuk terima mana-mana tawaran yang datang selepas ini.

“Dalam bidang pengacaraan, saya banyak merujuk pengacara-pengacara senior seperti Datuk Aznil Nawawi. Banyak yang saya belajar daripada beliau,” tuturnya bersemangat.

Adam ke Indonesia

Lain pula bagi Adam apabila memberitahu tidak sabar untuk melebarkan sayapnya ke Indonesia.

ADAM LEE bakal muncul dengan sebuah single baharu berjudul Izin selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

Kata Adam, dia ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah filem bergenre komedi seram oleh sebuah produksi Indonesia dan bakal menjalani penggambarannya pada Januari tahun hadapan.

“Alhamdulillah, 70 peratus persiapan sudah dibuat sebelum saya berangkat ke sana pada Januari tahun hadapan.

“Sebenarnya sudah tiga kali saya pernah ditawarkan untuk terbabit dengan filem di Indonesia, tapi kali ini baru menjadi.

“Saya seorang sahaja pelakon dari Malaysia yang terlibat. Firasat saya kuat mengatakan bahawa, produksi sana mengesan bakat saya menerusi drama Bidadari Salju yang pernah tular sehingga ke sana,” tutup Adam bersyukur atas peluang yang diberikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN