fbpx
SITI KHADIJAH selaku Pegawai Perhubungan Pelanggan Unit Aduan Ceti Haram PPIM yang digelar Bonda PPIM terlibat dalam penyelesaian lebih 15,000 kes ceti haram atau along dengan jumlah pemotongan nilai bunga daripada along-along berjumlah lebih RM200 juta.

Bonda PPIM, Siti Khadijah jumpa 50,000 along, ‘selamatkan’ duit bunga pengguna RM200 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada malam itu, wanita berdres hijau itu bersama pasukannya yang dikenali sebagai Team Bonda berkumpul bagi melunaskan misi bantuan kepada insan kurang bernasib baik.

Program Santuni Gelandangan dan Miskin Tegar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Pusat Khidmat Pelanggan Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur tampak berjalan begitu lancar.

Menerusi program bersama Street Glider Owners Malaysia itu, lebih 300 gelandangan dan miskin tegar menetap di pusat bandar menerima bantuan makanan dan pakaian.

Wanita itu, Siti Khadijah Hassan Berseri, 41, atau lebih mesra disapa Bonda menjadi tunggak utama atau master mind sebenarnya.

Mendapat gelaran Bonda PPIM sejak berkhidmat bersama persatuan itu beberapa tahun lalu, wanita asal Kuala Lumpur yang boleh dikatakan ikon kebajikan dalam PPIM itu mengakui mencintai kerja-kerja amal.

Kini memegang jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan Unit Aduan Ceti Haram PPIM, Bonda memulakan langkah dalam kerjayanya sebagai aktivis kebajikan sejak tahun 2007 dan semakin aktif ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ditanya apa sebab dirinya terpanggil untuk bergiat dalam kerja-kerja amal sampai ke hari ini, wanita itu langsung tidak malu berkongsi kisah silamnya.

“Bonda dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan mencabar, dari tinggal kawasan rumah setinggan ke rumah panjang sehinggalah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Bak kata pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan adalah kadangkala Bonda dan keluarga akan makan nasi berlaukkan garam bagi kelangsungan hidup dan tidak merasa nikmat baju sekolah baharu di alam persekolahan.

“Bonda mempunyai adik-beradik seramai enam orang. Ayah bekerja sendiri sebagai penjaja dan ibu merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Kesusahan yang dialami menjadi punca utama Bonda berkecimpung dalam aktiviti amal. Dengan izin Allah SWT, Bonda berpeluang berkhidmat di bawah PPIM,” katanya kepada Aura.

Cerita Bonda, dia diberi amanah mengetuai Unit Kebajikan PPIM bagi menyalurkan bantuan dan infaq rezeki berupa barangan keperluan dapur sewaktu PKP.

Pun begitu, tidak lama selepas itu, dia diberi kepercayaan pula bagi mendalami permasalahan berkaitan pinjaman ceti haram (along) di Unit Aduan Ceti Haram PPIM. Ceti haram adalah istilah yang digunakan dalam PPIM bagi along.

Ibu kepada tujuh cahaya mata dan bakal menimang anak kelapan tidak lama lagi mempunyai impian yang besar dalam memberikan sebanyak mungkin manfaat kepada ummah sejagat.

“Team Bonda merupakan Unit Aduan Ceti Haram PPIM yang ditubuhkan sejak 16 tahun lalu dan baru tahun ini bergerak aktif melalui sosial media bagi membanteras kegiatan ceti haram.

“Pada masa sama, kami juga aktif menyalurkan advokasi dan kesedaran bahaya pinjaman along kepada netizen.

“Antara inisiatif Team Bonda termasuklah mewujudkan komuniti #gengbonda untuk bersama-sama orang awam dalam perjuangan menyebarkan maklumat tentang bahayanya terjebak pinjaman along serta mendidik diri dalam aktiviti amal kebajikan.

“Alhamdulillah, Team Bonda berjaya menyelesaikan lebih 15,000 aduan berkaitan ceti haram dan telah berunding dengan lebih 50,000 along di negara ini. Team Bonda juga berjaya mengurangkan atau memotong kadar bunga daripada along-along dengan nilai jumlah keseluruhan lebih RM200 juta,” katanya.

BONDA yang boleh dianggap sebagai ikon kebajikan dalam PPIM turut menyantuni
anak-anak pelarian di luar negara.

Setiap kerja pasti tidak terlepas cabaran atau bahayanya tersendiri, begitu juga yang dihadapi Bonda apatah lagi yang melibatkan along.

“Awalnya memang seram untuk membiasakan diri berjumpa dan berunding dengan orang-orang besar, gangster dan seumpamanya. Tetapi lama-lama dah jadi sebati dalam diri. Memang mencabar tetapi tiadalah sampai menerima ugutan bunuh,” kongsinya.

Dalam kerja kebajikan pula, momen yang paling tidak dapat dilupakan adalah saat menyertai misi bantuan banjir ke Kelantan kerana ketika itu dia baharu saja habis berpantang.

“Bonda dan bayi (menyusu badan) sama-sama turun padang dan pada ketika itu baru masuk hari ke-45 habis berpantang,” ujarnya.

Selain itu, pada Februari lalu, dirinya telah terpilih untuk menyalurkan bantuan dan menyantuni mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria.

“Sepanjang Bonda berada di sana, beberapa gegaran susulan dirasai sepanjang hari.

“Bonda turut berpeluang jejakkan kaki di bumi Syria dan diiringi sepanjang perjalanan dengan kawalan ketat oleh tentera Islam di sana. Satu rezeki juga apabila dapat lihat sendiri kemusnahan akibat gempa dan kehidupan pelarian perang di bumi anbia.

“Anak-anak kecil yang membesar di kem pelarian dalam keadaan daif serta serba kekurangan begitu memberikan keinsafan serta memupuk rasa syukur atas segala nikmat dikurniakan Allah kepada kita di Malaysia,” tuturnya.

Tambah Bonda, dia juga pernah hampir berputus asa, namun tidak semudah itu. Ada ketika tindakannya disalah tafsir individu yang merasakan segala yang dilakukan demi kepentingan peribadi dan meraih populariti.

“Bonda hanya berpegang bahawa semakin kita ingin membantu dan berada dalam kerja-kerja kebajikan semakin kuat cabaran dan ujian yang kita perlu terima. Apapun sentiasa berpegang bahawa segala yang terjadi adalah dengan izin Allah SWT dan Dia sebaik-baik penilai,” katanya.

Ditanya bagaimana Bonda membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, dia sentiasa ingatkan diri bahawa segala yang ada di muka bumi ini adalah amanah dan pinjaman daripada Allah SWT.

“Sentiasa meletakkan Allah SWT yang paling utama, al-Quran dan sunnah sebagai pedoman serta menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai Idola dalam menjalani kehidupan.

“Dari segi pengurusan masa pula, Bonda sentiasa mendahulukan suami, anak-anak dan keluarga seterusnya melaksanakan amanah yang digalas dengan sebaiknya,” ujar Bonda.

Katanya, kunci utama adalah perlu sentiasa ikhlas dan istiqamah dalam melakukan apa jua perkara agar menjadi hamba-Nya yang semakin taat dan bermanfaat buat ummah.

“Ketika pintu di bumi sudah tertutup, yakinlah pintu ke langit sentiasa terbuka,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN