TEMPOH 32 tahun berpayung di bawah band yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu tentu sahaja satu pengembaraan sarat suka duka.
Meletakkan Exists sebagai satu jenama ampuh pada usia mereka bermula sebagai budak mentah juga semestinya punya cabaran tersendiri.
Apatah lagi mereka memulakan rentak sekitar awal 1990-an ketika banyak kumpulan lain telah lama bertapak kukuh di arena muzik tempatan.

Sahabat susah senang
Pada usia rata-rata masih belasan tahun ketika itu, akui Ajai atau Mohd. Faizal Maas, 48, emosi adakalanya mengatasi pertimbangan hingga berlakunya episod rajuk.
Cuma, kebijaksanaan serta pertimbangan anggota paling tua iaitu berbeza umur lima tahun daripadanya, Musa Radhi, 53, menyejukkan keadaan.
“Biasalah dalam perhubungan dan adik-beradik pun kita boleh berbalah pendapat, tetapi apabila ini berlaku episod perang dingin tidak lama sebab kami ada pendamai.
“Musa memang boleh jadi orang tengah. Bukan sebab dia lebih tua, tetapi lebih kepada caranya mencari jalan penyelesaian.
“Ikutkan sampai sekarang pun Musa sentiasa jadi rujukan kami kalau ada apa-apa perkara yang sudah dibincangkan dengan orang lain,” katanya.
Selain Ajai dan Musa, band asal Johor yang menempa kemasyhuran di Indonesia serta serantau itu turut dianggotai Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad.
Menurut Musa yang juga pemain bass dan keyboard, sebagai ‘abang’ dia mengakui mudah untuk menangani sikap setiap ahli kumpulan dengan cara berhemah.
“Pokok pangkal memujuk orang adalah diplomasi dan jadi pendengar kerana setiap orang mempunyai personaliti berbeza tetapi cara mendinginkan hati yang panas tetap sama.
“Semakin kita membesar bersama hingga ke saat ini saya sudah boleh jangka apa yang mahu mereka kongsikan dan kemudian kami sama-sama cari resolusinya,” luahnya.

Memoir Exists
Menurut Musa lagi, sejak dulu dia juga mempunyai tabiat suka menulis sebarang kisah atau peristiwa membabitkan band berkenaan.
Katanya, andai dulu penulisan tersebut dikongsikan dalam medium Facebook, kini dia dalam perancangan menghasilkan sebuah buku.
“Banyak sebenarnya kisah kami saya tulis yang pada awalnya untuk kenangan, malah setiap seorang mempunyai cerita istimewa yang belum sepenuhnya saya kupas kepada umum.
“Buku itu nanti bakal jadi Memoir Exists kisah awal kami bergabung dengan ramai ketika itu belum pun habis sekolah menengah serta kesukaran kami pada tahun terawal berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Mungkin kisah vokalis kami, Ezad Lazim yang datang dari Kedah bergabung dengan pemuzik asal Johor hingga ketika itu mengundang keraguan peminat turut saya angkat dalam buku itu nanti,” kongsinya.

Konsert Exists X Orkestra
Sementara itu, mereka turut teruja bakal merealisasikan sambutan 32 tahun sebagai band rakaman profesional apabila mengukir sejarah bergabung bersama 30 pemuzik orkestra dalam konsert Exists X Orkestra.
Dianjurkan Persatuan Global Malaysia, konsert tersebut akan diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember 2023 ini, sekali gus menjadi sejarah peribadi buat mereka.
Akui pemain pemain gitar utama merangkap komposer, Along, bergabung dengan pemuzik orkestra hebat sudah lama menjadi impian mereka.
“Kami fikir sudah banyak persembahan kami buat, daripada kecil kepada skala besar dan usia tiga dekad, inilah masa terbaik kami berkolaborasi dengan orkestra.

“Terima kasih kepada peminat kerana tanpa sokongan dan kepercayaan Exists masih relevan tidak mungkin Exists mampu berdiri di sini,” kata pemilik nama sebenar Azhrul Nasir, 45.
Selain gabungan ensambel pemuzik orkestra berpengalaman yang bakal menyuntik pengalaman baharu dengan gubahan semula seleksi dendangan, lebih istimewa konsert Exists X Orkestra membariskan dua vokalis iaitu Ezad dan Mamat.
Akui Ujang yang juga pemain dram pula, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Exists ligat mengadakan konsert di dalam dan di luar negara khususnya di Singapura dan Indonesia.
Namun persembahan mega itu tentunya mencetuskan rasa sentimental bagi diri mereka sendiri selepas setiap seleksi malar segar menerima suntikan alunan bunyian strings, perkusi dan horns.
Menurutnya lagi, tiket mampu milik dijual pada harga bermula RM168 sehingga RM568 di laman sesawang www.MyTicket.Asia. Sebagai tanda prihatin, sebanyak 10 peratus daripada kutipan harga tiket akan disalurkan kepada golongan artis yang memerlukan bantuan.
















