fbpx
ANDI BERNADEE

Andi Bernadee basuh memori hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAH dan berbakat, itulah antara pakej dimiliki Andi Bernadee yang membuatkan dirinya disenangi peminat dan rakan seperjuangan.

Namun siapa sangka, kecenderungan mengambil jalan selamat dan keselesaan melayan dunia sendiri bukan tembok penghalang mengecualikan pelantun lagu Satu Peluang itu terhindar daripada sikap hasad segelintir individu. Lama trauma terpuruk dek buatan orang dua tahun lalu, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, kini bangkit bersama semangat baharu.

Baginya, episod sengsara itu sudah terkambus jauh jauh daripada pandangan. Sebatang tubuh bernama Andi Bernadee kini hanya mahu hidup dipagari aura positif.

“Kita buang semua cerita negatif itu jauh-jauh. Kita tutup buku lama, biarkan hari mendatang lebih padat dengan kisah positif,” luahnya membuka bicara.

Tampil dengan wajah segar, jelas terserlah harapan diluahkannya sebagai misi utama melihatkan kepada keterujaan berkongsi satu persatu cerita mengenai dunia nyanyian yang diceburi sejak 2011.

LEBIH selesa di rumah andai tiada tugasan luar menjadi antara amalan Andi bagi mendapatkan rehat secukupnya selain mengelak daripada gosip liar.

Bintang yang mengawali karier seni menerusi aplikasi Smule itu berkata, fokus terkini adalah merealisasikan album sulung sebelum mengatur rancangan mengadakan konsert solo.

“Mana-mana penyanyi pun pasti punya impian menghasilkan album apatah lagi sepanjang 12 tahun bergelar penyanyi saya telah mempunyai seleksi hits yang panjang.

“Selepas itu barulah hati senang untuk meneruskan pula beberapa misi lain yang telah difikirkan sejak bertahun-tahun lalu termasuk konsert solo.

“Album yang saya impikan bakal berkonsep raggaeton yang menjadi identiti saya sedari awal dalam industri muzik.

“Buat masa ini saya dalam siri mengumpulkan idea baharu menepati konsep yang dimahukan, selain berharap album sulung ini dapat dilancarkan selewat-lewatnya awal tahun depan,” kongsinya.

ENGGAN lagi terpuruk dalam trauma akibat penyakit misteri dua tahun lalu, Andi Bernadee kini lebih bersemangat berkarya dan membina karier sukses dalam industri.

Ligat berlakon

Ligat memenuhi undangan menyanyi, Andi juga bersyukur jalan seninya tidak putus didatangi tawaran lakonan.

Naskhah Melastik ke Hatimu 2 yang disiarkan sejak 16 September lalu menjadi antara pertaruhan yang kembali meletakkan dirinya membawa watak hero bergandingan dengan Janna Nick.

Kisah adaptasi yang meraih sambutan hangat ketika musim pertama sekitar 2021 itu juga memperlihatkan sisi versatil Andi dalam arena lakonan.

Tawaran kembali terbabit dalam naskhah yang membawa pulang trofi pada Anugerah Drama Sangat 2021 itu dianggap sebagai rezeki indah.

Dek naskhah berkenaan juga, pintu tawarannya melakonkan watak utama terbuka luas, terutama genre komedi.

“Alhamdulillah, rezeki lakonan tidak putus. Saya sangat menghargai kepercayaan rumah produksi, pengarah dan penerbit.

“Cuma jauh di sudut hati, saya teringin galas watak antagonis iaitu lelaki jahat yang memberi kesan kepada khalayak.

“Sebelum ini, saya dah buat watak miskin, watak muka busuk pun pernah. Cuma mungkin produser bimbang muka kelakar saya tak buat orang ketawa kalau galas karakter jahat,” katanya sambil berseloroh.

SELEPAS bertahun-tahun asyik diberikan watak lucu atau pak lawak, Andi teringin membawakan karakter antagonis dalam naskhah lakonan.

Simpan hal peribadi

Diusik soal peribadi pula, pelakon yang bakal muncul dengan drama Kami Orang KL bawah arahan Suhaimi Lua itu tertawa kecil.

Akuinya, banyak masa hanya ditumpahkan terhadap karier dan keluarga. Sikap introvert dalam diri juga mungkin membuatkan dirinya mudah disangka sombong.

“Bukan tak mahu berkawan. Saya jenis habis kerja terus balik rumah, rehat atau main ‘game online’. Memang begitu sejak dari dulu.

“Sebenarnya ada baik juga sebab terhindar daripada gosip tak tentu hala. Apa pun, soal masa depan kita ikut saja aturan Ilahi. Insya-Allah setiap insan ada peneman nanti,” katanya.

Ditanya tentang perancangan masa depan, seperti keinginan terjun ke arena perniagaan seperti ramai selebriti lain, kata Andi, setakat ini tiada perancangan ke arah itu.

Artis yang pernah ditipu seseorang dalam industri hingga ‘hangus’ puluhan ribu ringgit memilih untuk tidak memeningkan kepala berhadapan karenah manusia.

“Sebelum ini saya pernah buat bisnes dengan rakan kongsi tetapi berikutan masalah pekerja, kami terpaksa ambil keputusan tutup perniagaan itu.

“Ini kisah sebelum menceburi dunia
seni lagi, jadi untuk memulakan semula bisnes baharu, tunggu dulu. Mungkin siapa tahu beberapa tahun akan datang.

“Cukuplah, saya fokus kepada nyanyian serta lakonan. Saya tak mahu sakit kepala. Dalam berbisnes, manusia adalah isunya. Tapi saya tiada penyesalan, semua itu pengajaran,” luahnya menutup bicara.

INGIN merealisasikan album sulung berkonsep raggaeton disusuli perancangan mengadakan konsert solo, itu impian Andi yang belum terlaksana.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN