fbpx
Tangkap layar video yang dikongsi Abdurrahman (kiri) di TikTok.

Abdurrahman berhenti jadi bilal, mahu fokus jaga adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut bersama empat anak mereka dalam nahas di Segamat pada 1 September lalu difahamkan sudah berhenti kerja sebagai bilal di sebuah ladang di Kluang kerana mahu menjaga adiknya.

Ibu saudaranya, Norhayati Noor Muhammad, 51, memberitahu, adik Abdurrahman Amir Ruddin iaitu Abdullah, 15, yang merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas itu  masih dirawat di Hospital Segamat.

“Saya dimaklumkan perkara itu oleh bapa saudaranya. Dia (Abdurrahman) mahu memberi tumpuan menjaga satu-satu adiknya yang terselamat dalam kemalangan tersebut.

“Doktor juga minta saudara terdekat menjaga. Jadi sebagai abang, Abdurrahman ambil tanggungjawab supaya ingatan Abdullah kembali pulih,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.

Norhayati berkata, Abdullah berkemungkinan besar akan dipindahkan ke Hospital Muar dan ditempatkan di wad biasa. Ini berikutan keadaan anak saudaranya itu semakin pulih apabila sudah boleh bernafas secara normal.

“Dia hanya memakai tiub untuk meminum susu. Mungkin hari ini (semalam) atau esok (hari ini) akan dipindahkan. Jadi pembedahan pada bahagian muka dan tangan kemungkinan akan dilakukan di sana (Hospital Muar),” katanya.

Abdullah yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir, Muar merupakan satu-satunya ahli keluarga tersebut yang terselamat dalam kemalangan.

Sebelum itu, Abdurrahman, 19, meluahkan rasa rindu terhadap ahli keluarganya yang maut dalam nahas menerusi hantaran video di TikTok.

Video itu memaparkan arwah ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, berjalan sambil berpimpin tangan bersama tiga adiknya. Turut bersama dalam video berdurasi 32 saat itu adalah Abdurrahman yang berjalan seorang diri berserta kapsyen ‘tunggu abang tau, nanti belakang sampai hehehe’.

Setakat pukul 3 petang semalam, vi­deo tersebut mendapat lebih 2.2 juta tontonan dan 257,000 tanda suka.

Tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai menitipkan doa kepada remaja lelaki itu agar terus kuat menjalani kehidupan setelah kehilangan enam ahli keluarga serentak dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan itu.

“Semoga kuat Rahman! Saya ini setiap kali menonton video awak rasa hendak menangis,” kata @Syahhhh.

“Seluruh rakyat Malaysia adalah keluarga awak sekarang Rahman,” ujar @Najiah-har.

“Semoga Rahman terus diberi ketabahan dan kekuatan daripada Allah SWT,” kata @Dillahussin.

Kemalangan pada pukul 6.37 petang, 1 September lalu mengorbankan Noorahimah dan suaminya, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kejadian berlaku ketika tujuh beranak itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.

Setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza yang dinaiki tujuh beranak tersebut bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN