JENDELA perpindahan musim panas akhirnya menutup tirainya pada awal pagi Sabtu lalu menyaksikan ia menjadi pasaran yang dianggap paling hangat setakat ini.
Keseluruhan kos perpindahan global telah menelan dana sebanyak £6.56 bilion (RM38.75 bilion) melibatkan 1,617 pemain yang bertukar majikan, sekali gus melepasi rekod sebelum ini £6.51 bilion yang dicatatkan pada 2019.
Selepas mengharungi tempoh pandemik Covid-19 bermula 2020 hingga tahun lalu, kelab-kelab dari Liga Perdana Inggeris (EPL) melalui proses pemulihan paling pantas apabila membuktikan penguasaan kewangan, sekali gus menjadi saingan liga yang berbelanja paling tinggi untuk musim 2023/24 menerusi pelaburan sehingga £2.1 bilion (RM12.41 bilion).
Jendela perpindahan kali ini dihiasi dengan warna-warni yang cukup menarik untuk disoroti melibatkan bagaimana hasrat Kylian Mbappe untuk menyertai Real Madrid tidak kesampaian apabila disekat majikannya, Paris Saint-Germain yang bersedia berdepan risiko terpaksa melepaskannya secara percuma musim depan.
Selain itu, Bayern Munich berjaya membuka pintu hati Harry Kane untuk menyertai mereka biarpun perlu berunding dengan Pengerusi Spurs, Daniel Levy yang cukup terkenal sebagai seorang yang sukar untuk diajak berbincang.
Ia telah membuka peluang penggempur sensasi England itu menamatkan kemarau kejuaraan yang bakal direalisasikan oleh gergasi Jerman berkenaan.
Bagaimanapun, jangan dilupa mengenai kuasa wang yang dibawa oleh kelab-kelab dari Arab Saudi yang membentuk satu gelombang luar biasa pada pasaran perpindahan kali ini menjadikan mereka menjadi saingan liga kedua yang mendominasi perlumbaan mendapatkan pemain selepas EPL.
Lebih 20 pemain berprofil tinggi dari Eropah telah membuat keputusan untuk beralih angin menyertai saingan di negara Asia Barat itu selepas menerima tawaran kontrak yang tidak masuk akal menjadikan liga tersebut sasaran ramai pemain dan pasukan yang mahu mengaut keuntungan luar biasa.
Pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema, Neymar, N’Golo Kante, Sadio Mane, Fabinho, Riyad Mahrez, Jordan Henderson dan ramai lagi berduyun-duyun menyertai liga tersebut bagi menemani Cristiano
Ronaldo yang bermastautin di sana enam bulan lebih awal apabila menyertai Al-Nassr pada Januari lalu.
Ancaman dari Arab Saudi masih belum berakhir apabila jendela mereka hanya berakhir pada Khamis ini menyebabkan Liverpool dalam gusar apabila bintang utama mereka, Mohamed Salah sedang dipancing apabila dikaitkan dengan nilai perpindahan sehingga £200 juta (RM1.16 bilion) selepas dua tawaran mereka sebelum ini tidak ‘dilayan’ oleh Liverpool.
Akhir sekali, jangan dilupa pemain terbaik sepanjang zaman, Lionel Messi yang menolak kemewahan hasil minyak Arab Saudi apabila memilih untuk meraih populariti dan kehidupan baharu dengan membuat keputusan menyertai Inter Miami di Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat.














