JOHOR BAHRU – Kira-kira 11 aplikasi songsang dalam talian dikesan menjadi platform bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk berkenalan serta membuat janji temu sebelum melakukan hubungan sejenis.
Lambakan aplikasi yang menawarkan servis songsang itu telah memudahkan pengguna untuk memuat turun dan mengaksesnya melalui telefon secara percuma sahaja.
Malah, rata-rata golongan LGBT mengakui aplikasi songsang itu adalah jalan mudah untuk mereka mencari pasangan sejenis mengikut pilihan serta cita rasa selain boleh menjana duit poket terutama bagi pelajar sekolah.
Seorang remaja yang mahu dikenali sebagai Aidil, 17, mengakui dia mula terjebak dalam kehidupan songsang sejak berusia 13 tahun.
Dia yang berperwatakan lembut mula mengakses aplikasi janji temu itu dengan memuat naik secara dalam talian tanpa pengetahuan ibu bapa.
“Saya mula berjinak-jinak dengan seks songsang ketika berada di tingkatan satu lagi. Saya terpengaruh dengan rakan sebaya yang juga berperwatakan lembut seperti saya.
“Saya download aplikasi itu yang banyak terdapat dalam telefon bimbit dan mula leka dengan perkhidmatan yang disediakan.
“Melalui aplikasi ini, saya boleh berkenalan dan bersembang dengan golongan sejenis yang saya suka pada bila-bila masa tanpa gangguan. Saya juga pernah membuat janji temu untuk berjumpa dengan lelaki yang lebih dewasa,” katanya.
Menurut Aidil, pengguna hanya perlu memasukkan maklumat diri ‘palsu’ memandangkan had umur yang dibenarkan adalah mereka yang berusia 18 tahun ke atas.
Katanya, setelah berjaya memenuhi butiran diri, pengguna boleh mengakses dan mencari teman sejenis mengikut pilihan selain lokasi terdekat bagi memudahkan untuk berjumpa.
“Dalam profil aplikasi itu, kita boleh letak nama samaran, umur pun boleh tipu kerana penyedia aplikasi ini tidak akan melakukan semakan.
“Selepas itu, kita boleh cari orang yang macam mana kita mahu, apabila kita tekan profil seseorang itu dan mengirimkan mesej, mereka biasanya akan segera respon.
“Dari situlah kita mula bersembang dan mengenali diri masing-masing sehinggalah berjumpa secara depan-depan,”
katanya.
Seorang lagi remaja berusia 18 yang mahu dikenali sebagai Danial pula berkata, aplikasi itu juga boleh digunakan sebagai salah satu cara mudah untuk mendapatkan duit poket.
Katanya, ada sesetengah pengguna terutamanya remaja sekolah yang menawarkan khidmat seks yang dipanggil ‘money boy’.
“Ada yang tawarkan pelbagai jenis seks dengan harga serendah RM20 sahaja.
“Mereka yang menawarkan servis semurah ini kebiasaannya budak-budak ‘jambu’ yang masih sekolah dan mahu buat duit poket, jadi mereka buat kerja macam ini,” katanya.














