KEMAMAN – Seekor gajah liar yang dilaporkan sering merosakkan tanaman kelapa sawit penduduk berjaya ditangkap di Ladang Espek 6, Felda Cerul, Hulu Kemaman dekat sini hari ini.
Gajah jantan dewasa tersebut berjaya diperangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada pukul 11 pagi.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, gajah jantan yang mempunyai ukuran tapak kaki sebesar
kira-kira 0.28 meter berkenaan telah ditangkap di kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan.
“Sebelum ini, kami menerima aduan penduduk, tanaman kelapa sawit diusahakan mereka sering dimusnahkan gajah liar sejak beberapa minggu lalu.
“Kita telah melakukan siasatan dan intipan yang membawa kepada penangkapaan gajah jantan liar dewasa berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Malek berkata, setakat ini, hanya seekor gajah yang berjaya ditangkap dan pemeriksaan lanjut akan dilakukan.
Beliau berkata, penangkapan akan dilakukan sekiranya masih ada lagi kawanan haiwan liar itu berhampiran kawasan kampung. – K! ONLINE














