PETALING JAYA – Kereta-kereta rosak akibat ditenggelami banjir dan kemalangan yang menjadi rebutan penjual kenderaan terpakai untuk dijual semula kepada pengguna telah membawa ‘bala’ kepada sebahagian pembelinya.
Mereka terpaksa menanggung kerugian besar apabila kereta terpakai yang digunakan tidak sampai beberapa bulan itu ‘meragam’ dengan pelbagai kerosakan sehingga pembeli terpaksa bergolok-bergadai untuk membaiki kenderaan tersebut.
Seorang mangsa kereta terpakai, Syakirah Latif, 27, berkata, dia membeli kereta terpakai jenis Perodua Myvi kerana mahu menjimatkan kos dan urusan pembelian juga lebih cepat, namun lain pula jadinya apabila dia terpaksa menanggung beban.
Katanya, dia terbeli kereta terpakai bermasalah secara tunai daripada seorang penjual di Pulau Pinang, pada awal tahun lalu.
“Sepanjang penggunaannya dalam tempoh enam bulan, semuanya baik-baik sahaja. Masuk bulan ketujuh, kereta dibeli itu mula meragam apabila ada bunyi bergesel di bahagian enjin.
“Saya kemudian hantar ke bengkel. Saya sangka sekali sahaja masuk bengkel, rupa-rupanya banyak kali masuk sehingga habis ribuan ringgit. Akhirnya kerosakan berpunca daripada kotak gear.
“Mekanik syak kereta tersebut pernah terlibat dalam banjir kerana bahagian di bawah badan kereta berkarat dan ada lagi kesan-kesan banjir,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pekerja swasta itu memberitahu, kereta itu masih baharu dan jarak perjalanan pun rendah, tetapi sebenarnya pernah ditenggelami banjir.
“Saya telah suarakan perkara ini kepada penjual dan mereka juga terima untuk beli balik kereta berkenaan,” ujarnya.
Syakirah berkata, dia kini hanya bergantung kepada pengangkutan awam untuk pergi bekerja dan bergerak ke mana-mana berikutan masih menunggu kereta baharu yang ditempahnya.
“Saya serik untuk beli kereta terpakai dan saya nasihatkan orang di luar sana supaya periksa betul-betul sebelum beli. Ini pengalaman pertama dan terburuk buat saya,” katanya lagi.
Seorang lagi mangsa, Nur Khalidah, 29, turut berkongsi pengalaman buruknya yang tertipu dengan penjual kereta terpakai dan mula syak sesuatu yang tidak kena pada keretanya setelah setahun menggunakannya.
“Ketika proses jual beli, penjual beritahu kereta terpakai jenis Perodua Bezza itu macam baharu dan tidak pernah terlibat kemalangan.

“Sebenarnya, awal penggunaan memang ada sedikit masalah dan semua terkantoi apabila saya hantar kereta ke bengkel untuk pemeriksaan secara menyeluruh,” katanya.
Khalidah memberitahu, dia tidak dapat bertolak ansur setelah pakar kereta memberitahu kenderaan yang dibelinya pernah terlibat kemalangan sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan atau total loss.
“Saya akan ambil tindakan terhadap penjual terbabit,” ujarnya,
Sementara itu, pekerja swasta, Nur Akmal Mohd. Noor, 33, berkata, dia sebelum ini telah membeli kereta terpakai jenis Honda City kerana terdesak untuk menggunakan kenderaan bagi memudahkan pergerakan ulang-alik kerja serta pulang ke kampung.
“Saya lihat ramai orang mencadangkan supaya membeli kereta terpakai sebagai kereta pertama. Justeru, saya telah meminta pertolongan abang ipar untuk mencari kereta terpakai.
“Setelah dipakai beberapa bulan, timbul pelbagai masalah sehingga saya terpaksa berhabis duit untuk membaiki kereta itu. Saya pergi buat ‘inspection’ dengan pakar dan rupanya kereta itu pernah terlibat kemalangan.
“Tak tahan berdepan dengan masalah kerosakan, saya jual semula kereta tersebut walaupun bayaran jualan tidak setimpal dengan harga semasa beli kereta,” luahnya.
Pada Januari tahun lalu, Kosmo! melaporkan kereta-kereta yang rosak akibat ditenggelami banjir di Selangor menjadi rebutan penjual kenderaan terpakai apabila pemiliknya yang enggan membaiki semula kereta mereka mahu menjualnya pada harga yang murah. Kereta itu dilelong di media sosial serta platform jual beli di internet.














