ADAM terasa hati dengan sikap isterinya yang sering mengeluarkan perkataan kesat antaranya bodoh terutama ketika marah selain wanita itu pantang dan mengamuk apabila menerima teguran sesiapapun. – Gambar hiasan

Isteri ‘mulut puaka’ jadi punca cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDIRIKAN bahtera rumah tangga bersama wanita yang disayangi merupakan impian semua lelaki.

Begitu juga buat seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Adam, di mana dia berjaya memperisterikan wanita disayangi sepenuh hati.

Adam berkata, dia dan isterinya telah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku persekolahan lagi.

“Kami menjadi semakin rapat setelah bertemu kembali sewaktu majlis ‘reunion’ bersama kawan-kawan.

“Selepas majlis itu, kami sering berhubung antara satu sama lain dan menjadi semakin rapat,” terangnya yang kini berusia pertengahan 30-an.

Adam amat menyayangi isterinya itu kerana sejak di bangku sekolah dia sebenarnya telah menaruh perasaan cinta.

Setelah menjalinkan hubungan serius, mereka tidak menunggu masa lama untuk mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan mereka juga mendapat restu daripada kedua-dua keluarga.

Bagaimanapun, sebelum berlangsungnya perkahwinan itu, bapa wanita itu sendiri mengingatkan Adam supaya dia bertahan dan bersabar dengan sikap serta perangai anaknya.

Setelah beberapa bulan mendirikan rumah tangga, barulah Adam menyedari apa yang yang dikatakan oleh bapa mentuanya itu. Mengenalinya di sekolah selama ini, watak sedemikian bagai tersembunyi.

“Setelah berkahwin, baru saya tahu sikap sebenar isteri saya ini.

“Dia seorang yang keras kepala, tak dengar cakap, baran dan sering mengeluarkan perkataan kesat jika ada perkara tidak memuaskan hatinya.

“Kadangkala apa yang keluar dari mulutnya akan menyebabkan orang sekitar menganggap dia seperti tiada adab,” terangnya.

Adam berkata, pergaduhan adalah perkara biasa antara dirinya dan isteri.

Namun, apa yang membuat Adam terasa hati adalah apabila isterinya itu sanggup mengeluarkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya kepada dirinya.

“Dia langsung tidak hormat saya sebagai suami. Jika marah, bermacam-macam perkataan yang akan keluar dari mulutnya seperti carutan dan perkataan bodoh. Bukan itu sahaja, dia juga mempunyai sikap suka mengarah dan merasakan dirinya sahaja betul,” jelasnya.

Tambah Adam, kadangkala dia berasa dirinya dilayan umpama seorang hamba dan bukannya suami.

Dalam pada itu, Adam berkata, isterinya juga seorang yang tidak mesra dengan keluarganya.

Malah, kakak Adam juga menyatakan bahawa isterinya itu ‘bermulut puaka’ dan tidak tahu adab bercakap dengan orang tua.

“Pernah pada satu perjumpaan keluarga, salah seorang ibu saudara dengan baik bertanyakan hal anak kepada isteri saya memandangkan dia masih belum mengandung.

“Tidak semena-mena isteri saya menjawab persoalan itu dengan jawapan yang kasar,” kata Adam.

Sejak peristiwa itu, ibu saudara Adam sudah jarang berbual dengan isterinya kerana dia mengetahui akan sikap buruknya.

Kemuncak kepada rentetan pergaduhan mereka adalah kala ibu Adam sendiri menerima nasib sama apabila isterinya itu bersikap sedemikian sewaktu ditegur.

“Saya bertanya sebab dia bersikap sedemikian dan tidak hormat ibu saya. Isteri saya menjawab, dia tidak suka ditegur oleh sesiapa sahaja.

“Malah, dia tergamak menyatakan bahawa itu ibu saya dan bukan ibunya,” terang Adam.

Perkara itu telah membuatkan Adam hilang sabar dan dia meninggikan suara kepada isterinya.

Sebelum ini, dia tidak pernah meninggikan suara kepada isterinya itu.

Meskipun Adam meninggikan suara, namun isterinya masih tidak mengalah.

“Bukan itu sahaja, dia juga mencabar saya untuk menceraikannya jika tidak suka dengan sikapnya.

“Dalam keadaan marah, saya terus melafazkan talak kepadanya. Dia hanya tersenyum apabila saya berkata demikian,” katanya.

Adam mengakui bahawa dia telah tawar hati terhadap isterinya itu.

Ujar Adam, dia lebih rela berpisah dan membawa haluan masing-masing daripada hidup dengan wanita bermulut puaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN