BENTONG – Masalah ‘dry’ atau buah terlalu kering menyebabkan durian musang king Pahang termasuk di Raub yang menjadi idaman penggemar raja buah seluruh dunia tidak dapat dieksport setakat ini.
Difahamkan masalah ‘dry’ menyaksikan isi durian menjadi lebih keras dan menampakkan biji serta ada yang sedikit berwarna kehitaman.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Saiful Sadri berkata, setakat ini hasil durian musang king Pahang hanya dipasarkan dalam pasaran tempatan kerana tidak dieksport disebabkan masalah kualiti.
“Yang pertama kebanyakannya (pengeluaran musang king) tidak boleh dieksport kerana kalau biasanya buah musang king ini teksturnya lembut tetapi kali ini agak keras dan nampak biji.
“Mungkin ia disebabkan oleh cuaca dan untuk pengeluaran kali kedua akan datang bergantung kepada cuaca jugalah dan harap kembali baik,” katanya pada kempen makan buah-buahan tempatan di pekarangan Tadika Perpaduan Taman Indah, di sini semalam.

Menurut Saiful, durian musang king di Pahang pada masa ini hanya dipasarkan di pasaran tempatan dan jumlah buah terlibat tidak direkodkan.
Katanya, keadaan itu juga dilihat menyebabkan harga durian musang king di pasaran tempatan pada masa ini tidak terlalu tinggi seperti sebelum ini.
“Kalau dulu durian musang king Raub gred A ada dijual dengan harga RM80 sekilogram dan sekarang RM25 sekilogram pun sudah boleh dapat,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pengeluaran durian di negara China dan Vietnam beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan eksport durian negara memandangkan pengeluaran durian negara setakat ini tidak mampu menampung permintaan eksport dunia.
Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu jumlah eksport durian negara adalah kira-kira 51 juta kilogram dengan nilai kira-kira RM556 juta.
“Sebenarnya situasi eksport Malaysia adalah pada kadar satu peratus sahaja, jadi tidak perlulah penanam risau buah mereka tidak boleh jual, kita boleh tawarkan satu peratus sahaja dan pasaran yang ada masih besar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE















