“SAYA nampak satu vision (bayangan), macam Allah bagi satu alamat atau seolah-olah petanda. Ketika itu, saya sedang buat kerja di pejabat.
“Sekali imbas saja, jelas nampak diri saya hadapi kemalangan dalam sebuah kenderaan berwarna putih dan saya duduk di sebelah depan tempat duduk penumpang.”
Itu firasat yang dapat diingat kembali wanita tabah Masitah Mohd. Afandy yang kini buta kedua-dua belah mata selepas terlibat dalam satu kemalangan tragis yang hampir meragut nyawanya pertengahan Mac lalu.
Mendapat bayangan seolah-olah bakal ditimpa musibah buruk dua minggu sebelum dirinya betul-betul terlibat kemalangan merupakan satu perkara yang tidak pernah dijangka wanita itu.
Siapa sangka, kemalangan pada tanggal 21 Mac, dua hari sebelum umat Islam menyambut kedatangan Ramadan itu mengakibatkan seluruh deria penglihatannya hilang sekali gus merubah 360 darjah kehidupannya kini.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.50 petang itu, Masitah, 32, atau lebih mesra disapa Mashy yang dalam perjalanan dari Sabak Bernam, Selangor pulang ke Johor Bahru cedera parah, manakala salah seorang pekerjanya, Muhammad Quzaimi Izzaudin Mahmod meninggal dunia selang sehari selepas kejadian.

baru-baru
ini.
Menurutnya yang dirujuk ke Hospital Melaka ketika itu, kenderaan dinaiki dirinya bersama tiga pekerja itu gagal berfungsi sebelum mereka dirempuh sebuah lori treler.
“System down (kegagalan sistem) menyebabkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki kami berempat tidak dapat dikawal dan menghentam ke kiri jalan.
“Ketika itu sistem beg udara (airbag) juga tidak berfungsi. Ditakdirkan sebuah lori 15 tan tiba-tiba merempuh hingga menyebabkan kenderaan yang kami naiki remuk teruk,” katanya mengimbas kejadian.
Ujarnya, susulan kecelakaan tersebut, dia mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka pada kepala, selain keretakan pada bahagian kiri kepalanya yang terpaksa ditutup menggunakan plat.
Wajahnya juga menjadi tidak sekata yang mana sebelah kanan agak tenggelam susulan kecederaan pada bahagian mata. Secara keseluruhan sembilan plat ditanam pada wajah dan kepalanya.
Bahagian paha yang ‘patah tebu’ hingga kini masih dalam proses pemulihan serta memerlukan sekurang-kurangnya setengah tahun untuk kembali berjalan juga terpaksa ditanggung usahawan muda kelahiran Johor Bahru itu.
“Tapi yang paling besar sekali berlaku selepas kemalangan ialah saya kehilangan deria penglihatan apabila buta kedua-dua belah mata.
“Alhamdulillah sebagai takdir, saya telah direzekikan merasai pengalaman menjadi seorang orang kelainan upaya (OKU) buta.
“Susulan kemalangan juga, saya patah tulang hidung dan terpaksa menggunakan hidung implan dan sampai ke detik ini saya masih belum boleh menghidu,” katanya.
Berita mengenai kemalangan tragisnya itu turut menjadi antara tajuk berita di dada akhbar dan juga media elektronik lain.

Kecekalan dan kebangkitannya hanya 44 hari selepas kemalangan seolah-olah tiada menimpa dirinya, selain masih membuat perkongsian di TikTok membuat netizen terharu sekali gus memuhasabah diri masing-masing dengan sisi positif yang ditunjukkannya.
Mashy juga kini sering dijemput pihak televisyen dan radio untuk berkongsi kisahnya.
Diaju mengenai perkara pertama yang bermain di fikirannya selepas mendapat tahu diri buta sepenuhnya, Mashy langsung tidak menyalahkan takdir tetapi berfikir apa yang boleh dilakukannya adalah untuk meneruskan kehidupan serta tidak mensia-siakannya.
“Jika ditanya, kehidupan selepas buta tidaklah jauh berbeza seperti sebelumnya cuma apa yang lain adalah saya masih tidak boleh bergerak.
“Buat masa ini, saya masih berkerusi roda dan dibantu suami sepenuhnya untuk uruskan segala kerja seperti ke tandas, mandi dan sebagainya.
“Tetapi sekarang alhamdulillah saya sudah mula berdikari untuk kenal pasti baju sebelah depan dan belakang serta pakai tudung sendiri secara perlahan-lahan,” katanya yang pada awalnya mengakui agak sukar untuk menerima takdir bergelar orang buta rentetan daripada insiden kelam tersebut.
Mashy bagaimanapun bersyukur sepanjang tiga bulan hilang penglihatan sepenuhnya, dia masih dikurniakan insan-insan kuat di sekelilingnya sekali gus membuatkan diri tidak berasa keseorangan dan sentiasa bersemangat untuk teruskan hidup.
“Support system (sistem sokongan) saya adalah suami dan tidak lupa juga mentor iaitu Datuk Wira Azizan Osman termasuklah keluarga serta keluarga mentua yang sangat beri sokongan dan kasih sayang tidak berbelah bagi.
“Alhamdulilah dari segi perniagaan juga semakin baik walaupun saya tidak dapat sepenuhnya ada dengan mereka (team). Mereka banyak membantu dan itu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan hidup seperti sedia kala dan bangkit daripada kesedihan atas ujian yang diberikan,” ujarnya.
Ditebak adakah asbab menjadi buta menjadikan dirinya kini terhindar jauh daripada perkara-perkara yang mengundang dosa, Mashy mengakui perkara tersebut.
Katanya, itulah sebenarnya yang cuba dia sampaikan selama ini tetapi tidak difahami ramai.
“Alhamdulillah, saya rasa kini lebih tenang selepas buta kerana saya less judgemental (kurang mengadili) menerusi mata. Lepas Allah takdirkan dan rezekikan buta ini, saya tidak lagi sebegitu.
“Di sebalik kekurangan yang saya alami sekarang ini, saya tidak nampak orang melihat saya sebagai satu kekurangan dan begitu juga sebaliknya,” katanya yang berlapang dada dengan ujian yang berlaku.
Menyifatkan ujian yang dikurniakan sebagai satu anugerah dan nikmat Allah, Mashy berkata, semakin hari menjalani kehidupan sebagai orang buta jadikannya semakin menyantuni serta melihat hikmah daripada apa yang berlaku.
Ujarnya, setiap hari Allah memujuk dan memberikannya kebahagiaan berbanding sebelum bergelar buta sekali gus membuatkannya lebih bersyukur serta menyifatkan sebagai nikmat paling besar.
Berkongsi mengenai dirinya yang masih belum dikurniakan zuriat sejak 11 tahun menjadi isteri, wanita tabah itu menyifatkannya sebagai satu bentuk rezeki daripada Allah juga, selain menerima ada hikmah di sebalik hal itu.
“Saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan belum lagi dikurniakan menjadi ibu.
“Saya bersyukur dengan itu (belum ada zuriat) dan merasakan inilah hikmah yang Tuhan sudah tentukan buat saya. Mungkin kalau saya ada anak pun agak susah nak jaga disebabkan saya buta seperti ini,” katanya.
Sekali lagi ditebak apa yang paling menjadi kerinduan Mashy yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif NM Aircond Electrical & Cleaning Services itu, dia mengakui rindu mahu menatap wajah suami tercinta yang tidak akan dapat lagi dilihatnya selepas ini.
“Saya paling rindu nak tengok muka suami tercinta, Nik Nazri Abidin. Setiap pagi saya buka mata akan tercari-cari muka suami dan masih tidak berpeluang untuk tengok itu lagi.
“Tapi saya tahu dan percaya, insya-Allah satu hari nanti dengan izin Allah, saya boleh menatap kembali wajah suami. Jika tidak di dunia, di sana (akhirat) nanti.
“Saya juga rindu nak tengok muka emak dan sanak saudara.
“Sebagai tulang belakang syarikat juga, saya juga rindu untuk melihat hasil kerja kakitangan saya dan team yang sentiasa dan tidak pernah jemu sokong atau mendoakan saya hingga detik ini,” katanya.














