RASANYA bagai semalam, ingatan lelaki itu kembali ke zaman kanak-kanaknya bermain di hadapan rumah yang terletak di bandar Kajang, Selangor.
Pada masa itu, jalan raya tidak dipenuhi dengan kereta, melainkan orang yang berjalan kaki atau menaiki basikal untuk ke destinasi dituju.
Terdapat juga peniaga sate yang membawa kandar di sekitar bandar sehingga menyebar aroma makanan itu di setiap jalan dilalui.
Itulah memori silam yang tidak dapat dilupakan oleh Lee Chong Nim.
Lelaki berusia 74 tahun itu telah menyaksikan banyak perubahan di bandar yang terkenal dengan hidangan Sate Kajang tersebut.
Menurutnya, Kajang adalah sebuah bandar yang sebenarnya menyimpan banyak sejarah yang rata-ratanya lebih seabad lamanya.
“Saya membesar di Kajang dan semasa masih muda, bandar ini sudah dibangunkan dengan rumah-rumah kedai, bangunan pejabat, tokong, masjid dan sebagainya.
“Kini, sebahagiannya masih lagi ada dan berusia lebih 100 tahun. Ia masih kekal utuh, meskipun bandar ini sudah berubah dengan pertambahan bangunan moden,” katanya ketika ditemui K2 di Tokong Shen Sze She Yar, Kajang, baru-baru ini.
Tambahnya, biarpun ramai yang mengenali Kajang dengan makanan sate, sebenarnya sekitar bandar itu terdapat infrastruktur lama yang menjadi tanda sejarah buat daerah Hulu Langat.
Kongsi datuk kepada tiga cucu itu, salah satunya ialah Tokong Shen Sze She Yar yang sudah berusia lebih 125 tahun.
Katanya, dia juga terlibat dalam menguruskan rumah ibadat itu sebagai timbalan setiausaha persatuan pengurusan tokong secara sukarela.
Selain Tokong Shen Sze She Yar, terdapat lagi beberapa bangunan yang sudah wujud lebih seabad lalu seperti pejabat pos dan rumah kedai di kawasan bandar lama Kajang.
Meskipun sudah mempunyai tanda sejarah tersendiri, bandar Kajang sebenarnya mempunyai pelbagai versi berhubung asal usul kewujudannya.
Terdapat beberapa cerita lisan berkenaan dengan penerokaan awal pekan Kajang dan kawasan sekitarnya.
Menurut cerita yang diwarisi oleh orang-orang tua, Kajang dan kawasan sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah kawasan kediaman Orang Asli dari suku Temuan.

Perkara itu pernah dikongsi oleh seorang pengkaji sejarah tempatan iaitu Shahabudin Ahmad, di mana Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh Orang Asli yang berpusat di Klang.
Pada waktu itu Klang diperintah oleh Orang Asli yang ketuanya dipanggil Batin Seri Alam.
Batim Seri Alam mentadbir di Klang kerana ketika itu hutan adalah pusat pentadbiran bagi Orang Asli.
Klang mempunyai jajahannya yang tersendiri yang ditadbir oleh tiga orang anak kepada Batin Seri Alam.
Mengikut perkongsian Lee Teng, 35, berdasarkan kajian sejarah dari pengasas Pusat Warisan Kajang mendiang Lee Kim Sim, bandar Kajang dibuka sekitar 1870-an oleh masyarakat Mandailing, Rawa, Minangkabau dan segelintir orang Kampar dari Sumatera yang berhijrah ke daerah itu.
“Sebelum tahun 1884, bancian yang dibuat oleh British di pekan Kajang waktu itu hanya ada 60 rumah kedai.
“Daripada jumlah itu, 37 rumah kedai adalah milik orang Mandailing, Minangkabau dan Rawa.
“Orang Mandailing pandai berniaga dan pandai melombong bijih timah. Namun kemudian, mereka berpindah ke kampung-kampung apabila kemasukan ramai peniaga-peniaga Cina dan India ke Tanah Melayu,” katanya yang kini menguruskan Pusat Warisan Kajang.
Kongsinya lagi, berdasarkan kecintaan Kim Sim terhadap sejarah asal bandar Kajang, beliau menubuhkan pusat warisan yang beroperasi sejak tahun 2000.
Ulasnya, pusat tersebut menyimpan lebih 300 koleksi artifak, alatan dan dokumen sejarah Kajang.
Dengan kewujudan Pusat Warisan Kajang dan kerjasama Tourism Selangor serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), usaha memelihara peninggalan sejarah giat dilaksanakan bagi mengetengahkan bandar itu sebagai lokasi tarikan pelancongan.
Masih mengekalkan identiti Kajang sebagai bandar sate, pelancongan di bandar itu juga tidak hanya memberi fokus kepada sejarah semata-mata, malah turut mengetengahkan tarikan kulinari.
Pelan pelancongan tersebut diusahakan menerusi kempen ‘Kajang Once Upon A Time’.
Kempen itu mempromosikan tarikan sejarah dan lokasi kulinari sate yang diusahakan sejak turun-temurun.
Menerusi program itu juga, enam lokasi diketengahkan sebagai rujukan pelancong untuk meronda-ronda di Kajang iaitu Masjid Jamek Kajang, Pejabat Pos Kajang, Satay Putera Kajang, Pusat
Warisan Kajang, Tokong Shen Sze She Yar dan Kedai Biskut Timbang.
Menurut pengusaha Satay Putera Kajang, Datuk Wong YK, program pelancongan itu membuka mata masyarakat bahawa terdapat ramai pengusaha sate di Kajang yang boleh diterokai.
“Ada ramai yang berniaga sate dan mempunyai resepi sendiri sejak turun- temurun, meskipun ada satu jenama yang besar di sini.
“Tapi apabila orang melancong ke Kajang, mereka akan tahu ada banyak lagi kedai sate yang menjual hidangan autentik bandar ini.
“Kami juga menggunakan resepi yang diwarisi daripada generasi terdahulu untuk memberi peluang kepada anak muda sekarang merasainya,” kongsinya.
Sementara itu, pengusaha kedai biskut timbang, Siew Chee Kien, 55, melihat pelancongan di Kajang membantu kelangsungan penjualan biskut timbang.
“Tidak dinafikan ada generasi muda yang tidak tahu tentang kewujudan biskut timbang.
“Usaha pelancongan di Kajang memberi kami ruang mengekalkan penjualan biskut timbang,” ujarnya.














