HULU TERENGGANU – Hujan lebat berterusan di daerah ini sejak awal pagi menyebabkan Kampung Pelandan, Telemong di sini mula dinaiki air hari ini.
Banjir setinggi kira-kira 0.5 meter berpunca dari limpahan Sungai Kepar di sini setakat ini menjejaskan sekurang-kurangnya tiga buah rumah di perkampungan tersebut.
Seorang penduduk, Hasan Jusoh, 66, berkata, rumahnya mula dinaiki air mulai pukul 12 tengah hari.
“Rumah saya memang akan dinaiki air banjir jika hujan lebat berlarutan sehingga lebih tiga jam berikutan limpahan air sungai berhampiran.
“Biasanya ia akan surut semula tidak lama selepas hujan berhenti. Apa pun saya dan dua ahli keluarga yang lain sentiasa berjaga-jaga kerana situasi banjir sukar dijangka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Dariah Abdullah, 43, berkata, dia sekeluarga telah menyiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana musim tengkujuh sudah bermula.
“Hari ini kami anggap masih selamat walaupun rumah dinaiki 0.5 meter air banjir.
“Persiapan awal mula dilakulan kerana kami sudah biasa dilanda banjir setiap tahun. Kalau berlarutan, sudah pasti akan berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya.
Sebelum ini, 10 rumah di Kampung Binjai, Chendering, Kuala Terengganu menjadi perkampungan pertama dilanda banjir di negeri ini dalam kejadian pada pukul 7 malam semalam. – K! ONLINE