fbpx
MUHAMAD Hazamer (dua dari kiri) bersama AJK Masjid Al Maarufi melihat keadaan kawasan perkuburan lama di Seberang Kota, Kuala Kedah pada semalam.

‘Hari-hari pijak kubur, kami terpaksa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KEDAH – Penduduk di Seberang Kota, di sini merayu agar satu laluan khas dibina segera bagi mengelakkan orang ramai terutama nelayan menggunakan kawasan perkuburan lama sebagai laluan harian ke bot masing-masing.

Kalangan penduduk mendakwa terdapat ribuan kubur di situ dengan kebanyakannya sudah tidak bernisan, selain ada yang dikebumikan secara berlapis.

Imam Masjid Al Maarufi, Muhamad Hazamer Muslim berkata, penduduk terutama nelayan terpaksa melalui kawasan kubur untuk ke tempat bot ditambat kerana tiada laluan alternatif disediakan.

“Jadi kita minta pihak berwajib atau mana-mana pihak yang sudi untuk membina laluan khas seperti titi atau jambatan kecil di bahagian tepi supaya mereka tidak lagi memijak kubur-kubur termasuk yang tidak bertanda di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, kawasan tersebut merupakan tanah perkuburan Islam yang perlu dipelihara kerana ia adalah tempat persemadian jenazah umat Islam.

“Isu ini sudah lama dan kami berpendapat ia bukan sekadar harus, tetapi wajib diambil tindakan. Penyelesaian isu ini bukan sahaja dapat memudahkan urusan harian penduduk, malah dapat menjaga kesucian tanah perkuburan ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang nelayan tempatan yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid Al Maarufi, Jafaruddin Jaafar, 57, berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan laluan tersebut kerana ia merupakan satu-satunya akses ke kawasan bot.

“Memang rasa tak selesa sebab kita tahu di bawah laluan itu ada kubur tetapi kami terpaksa sebab tiada laluan lain. Ada juga saudara mara saya yang dikebumikan di kawasan perkuburan di sini tetapi masih bernisan,” ujarnya.

Katanya, dia berharap pihak berkaitan dapat membina laluan khas dengan lebar kurang dua meter dan panjang antara 700 meter hingga satu kilometer bagi memudahkan pergerakan nelayan ke bot masing-masing.

Penduduk, Shafie Md Isa berkata, dia telah menjaga kawasan kubur itu lebih 15 tahun lalu dan sering menegur orang ramai agar tidak melalui kawasan kubur, namun tanpa laluan alternatif, teguran itu sukar dipatuhi kerana penduduk tiada pilihan lain untuk bergerak.

“Orang lalu bagi salam tetapi kalau hari-hari pijak kubur, memang tak sesuai. Sebab itu kami harap sangat ada laluan khas dibina,” ujarnya.

Jelasnya, dia juga pernah terlibat dalam urusan memindahkan 28 jenazah di situ selepas kubur yang terletak di tepi sungai mengalami hakisan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN