LEMANG merupakan makanan tradisional yang cukup sinonim dengan musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha yang dipadankan bersama rendang atau serunding untuk rasa yang lebih memukau.
Namun, dengan inovasi dan kreativiti yang mirip seperti makanan sushi di Jepun, orang ramai kini boleh merasai keenakan lemang berinti pelbagai makanan yang diusahakan oleh sebuah perusahaan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Perusahaan keluarga yang ditunjangi oleh Zuriati Sulaiman, 56, itu mula beroperasi pada tahun 2017 dengan menampilkan makanan tradisional yang diinovasikan kepada moden dikenali sebagai lemang sushi.
Proses pembuatan lemang sushi di Awie Enterprise itu bermula seawal pukul 7.30 pagi setiap hari. Menjadi rutin anak Zuriati, Muhammad Syafiq Azizi, 31, akan merendam beras pulut selama dua jam.
Sementara menunggu beras pulut direndam, Muhammad Syafiq akan keluar mencari daun pisang sebelum memotongnya mengikut ukuran saiz telah ditetapkan untuk dimasukkan ke dalam bekas keluli tahan karat berbentuk seperti batang buluh.

Selepas ditoskan, beras pulut kemudian akan direndam dengan santan selama sejam dan barulah Muhammad Syafiq memasukkannya ke dalam setiap batang buluh keluli untuk dimasak di dalam mesin pembakar khas.
“Kebiasaannya lemang biasa akan mengambil masa tiga jam untuk dibakar menggunakan kayu api tetapi kami hanya mengambil masa sejam setengah sehingga dua jam setiap kali membakarnya.
“Kami ada dua dapur setakat ini dan setiap dapur boleh memuatkan 24 batang lemang. Setiap lemang akan dipotong dua untuk dibungkus dan disejukbekukan.
“Bagi pembuatan lemang, istimewanya, hanya saya dan ayah sahaja yang terlibat kerana prosesnya yang rumit dan memerlukan ketelitian yang tinggi, manakala staf lain memasak produk-produk lain seperti serunding dan produk sedia dimakan,” katanya ketika ditemui Panorama di Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ujar anak tunggal itu lagi, keputusan untuk berhenti kerja sebagai juruteknik di Senawang pada tahun 2018 bagi membantu perusahaan ibu bapanya tidak disiakan, malah membuahkan hasil apabila lemang sushi mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Dengan harga RM25 bagi semua jenis, kata Muhammad Syafiq, mereka berjaya mendapat tempahan sehingga 8,000 batang lemang sushi pada Ramadan baru-baru ini di mana inti rendang daging minang paling mendapat sambutan.

Walaupun menggunakan mesin pembakar dan bukannya buluh, Muhammad Syafiq berkata, aroma dan ciri-ciri lemang tradisional masih dikekalkan dengan menggunakan beras pulut, daun pisang dan santan.
“Keistimewaan kesemua inti lemang sushi ini adalah terletak pada resipi asal yang dimasak sendiri oleh ibu saya kecuali inti durian D24 berkualiti tinggi yang dibeli siap daripada pengeluar tempatan,” jelasnya.
Menyorot kembali penglibatan awal pembuatan lemang sushi ini, Zuriati berkata, dia mula melibatkan diri dalam bidang perusahaan ketika menjual serunding ikan bilis dan snek popia pada tahun 2005.
Anak kelahiran Kuala Pilah itu berkata, pada mulanya dia belajar untuk membuat lemang biasa sebelum suaminya, Azizi Abdul Moen, 61, mendapat idea untuk menyumbatkan inti di tengah-tengah menggunakan produk yang sedia dijual sebelum ini.
Bagai bulan jatuh ke riba, rezeki memihak kepada mereka apabila menerima mesin pembakar lemang yang diberikan oleh Jabatan Pertanian Negeri pada tahun 2017.
“Kita tahu serunding, rendang sesuai dengan lemang. Kebiasaannya orang akan cecah atau makan bersama. Jadi suami kata, baik kita gabungkan saja dalam satu lemang menjadi inti supaya mudahkan orang ramai.
“Sejak itu, kami mula mencipta acuan untuk memasukkan inti di bahagian tengah lemang dan kini mempunyai variasi tujuh perisa inti seperti rendang daging minang, serunding daging, serunding ayam, serunding ikan bilis, daging dendeng, sambal bilis dan durian D24,” terangnya.
Tambah Zuriati, produk inovasi pertama di Malaysia yang juga di bawah ‘Original Equipment Manufacturer’ (OEM) itu turut mendapat pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Bukan itu sahaja, Zuriati turut bersyukur perusahaan yang dibinanya ini mendapat bantuan daripada Jabatan Veterinar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Sementara itu, salah seorang ejen bertempat di Johor Bahru, Aznamsha Mohamad, 49, berkata, keunikan produk lemang sushi mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan di bahagian Selatan dan warga Singapura.
“Bagi saya, produk ini unik sebab makanan lama atau tradisional yang diperbaharui. Tambah pula dengan pelbagai pilihan inti menarik. Lemang sushi disejukbekukan juga memudahkan orang ramai untuk makan kerana tahan lama lebih daripada lemang biasa.
“Bulan puasa tahun lepas saya pernah menjual sehingga 200 batang sebulan. Permintaan masyarakat di Singapura juga meningkat kerana produk ini dianggap baharu dan lain daripada yang lain. Ramai minat inti serunding daging, ikan bilis, rendang daging minang,” katanya.
Tambahnya, dia melihat produk ini dapat menembusi pasaran luar kerana keunikan hidangan Melayu yang dinaik taraf sesuai dengan cita rasa masyarakat asing.
Seorang pelanggan, Hady Armeen, 25, pula berkata, dia pertama kali merasai produk yang diinovasikan ini dan kagum dengan rasanya yang unik berbanding lemang biasa.
Sebagai penggemar lemang, Hady yang juga bekerja sebagai seorang akauntan, mengakui dengan harga RM25 sebatang, pengguna dapat merasai makanan tradisional yang berintikan pelbagai hidangan.
“Lemang sushi bagi saya adalah satu produk inovasi yang sangat menarik dan ini adalah pertama kali saya jumpa dan rasa sendiri.
“Sebagai penggemar lemang sendiri, saya rasa lemang sushi ni sangat menarik sebab kita dah tak perlu makan dengan kuah kacang atau rendang sebab memang sudah ada inti.
“Paling menjadi kegemaran saya adalah lemang daging dendeng. Berbeza dengan lemang biasa, lemang ini juga mempunyai ketahanan setahun lamanya jika disejukbekukan. Saya rasa ia sangat memudahkan,” katanya.














