NAMA Tiara Andini tidak perlu diperkenalkan lagi di Indonesia, malah kini semakin mewangi di pesisiran muzik negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Berjaya meletakkan diri sebaris selebriti ‘papan atas’ di negara sendiri juga tidak membuatkan naib juara Indonesian Idol 2019-2020 itu hanya mendongak ke langit.
Bersaing dengan rakan seangkatan seperti Mahalini, Lyodra, Ziva Magnolya dan Keisya, Tiara berkata, bintang-bintang muda itu saling menyokong antara satu sama lain.
“Saya pernah berangan-angan untuk jadi penyanyi cuma tidak sangka impian itu menjadi kenyataan. Saya tidak pernah berhenti untuk bersyukur dengan apa yang saya kecapi hari ini.
“Saya tidak pernah melihat rakan-rakan seangkatan seperti Lyodra, Ziva atau Keisya sebagai persaingan. Kami saling menyokong satu sama lain.
“Tapi jika itu dianggap persaingan, itu sesuatu yang sihat dan positif,” ujarnya yang memiliki tujuh juta pengikut dalam Instagram.

Tak tertekan, Korea
Popular dengan lagu Merasa Indah, Tiara tidak pernah berasa tertekan dalam soal pemilihan bagi memastikan lagu-lagu nyanyiannya sentiasa mendapat perhatian.
Sebaliknya, dia sentiasa menjalankan kerja seninya dengan ikhlas tanpa paksaan dan tekanan.
“Saya tidak pernah tertekan atau bimbang jika lagu rakan-rakan lain lebih sedap atau lagu saya tidak diterima.
“Saya melakukan semua yang saya suka dengan ikhlas kerana saya percaya Allah akan beri hasil yang setimpal,” ujarnya.
Minat yang mendalam terhadap genre muzik dan drama Korea Selatan, Tiara meluahkan kegembiraan saat impian untuk merakam lagu komposer negara kimchi itu menjadi kenyataan.
Baru selesai merakam single terbaharu di Malaysia bersama komposer dari Korea Selatan, Hyuk Shin, Tiara mengakui teruja menanti hasil kolaboratif itu.

Pemilik nama sebenar, Tiara Anugrah Eka Setyo Andini, 22, ini memberitahu single rancak bergenre K-pop tersebut dijangka menemui peminat hujung tahun ini.
“Lagu ini ada unsur K-pop tapi menggunakan bahasa Inggeris dan ada sedikit rap, sangat berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini.
“Insya-Allah saya akan lancarkan tahun ini dan berharap lagu ini diterima semua peminat saya di Indonesia dan Malaysia.
“Saya juga berharap lagu ini dapat menarik minat pendengar antarabangsa khususnya di Korea Selatan.
“Sebenarnya saya sendiri seorang penggemar muzik, drama, makanan dan budaya Korea Selatan. Peluang kerjasama dengan komposer dari negara itu bagaikan sebuah mimpi.
“Saya sudah berkongsi idea-idea saya untuk dimasukkan dalam lagu berkenaan. Kami juga mungkin merakam beberapa buah lagu lain,” ujarnya.
Tidak pernah menjejakkan kaki ke Korea Selatan, penyanyi lagu Merasa Indah itu sangat berharap dapat bercuti ke negara itu suatu hari nanti.

Nabila Razali, konsert
Ditanya tentang perancangan untuk berduet dengan artis Malaysia, Tiara berkata, dia berharap dapat berkolaborasi dengan penyanyi Nabila Razali.
Beberapa kali bertemu Nabila ketika sama-sama menjalani penggambaran produk di Bangkok, Thailand, Tiara menyifatkan Nabila seorang yang menarik dan menyenangkan.
“Ini satu cadangan yang baik dan boleh dilaksanakan. Kalau artis Malaysia, saya kenal Nabila Razali kerana kami ada sama-sama terlibat menjalani penggambaran iklan baru-baru ini.
“Dia seorang yang baik dan peramah, senang berkawan dengannya dan kalau ada peluang saya ingin bekerjasama dengan Nabila,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Tiara kini dalam persiapan bagi mengadakan konsert pertamanya di Malaysia pada Jun depan.
Biarpun sudah biasa membuat persembahan di Indonesia, Tiara akui perasaan gementar itu tidak boleh dielak.
“Insya-Allah pada Jun akan datang ini saya akan mengadakan konsert di Malaysia.
“Saya sudah biasa nyanyi tapi perasaan gementar itu masih ada terutama jika melakukan persembahan berskala besar, apa lagi ini pertama kali di sini,” ujarnya yang kini muncul dengan single nyanyian semula berjudul Menyesal bersama Yovie Widianto, Lyodra dan Ziva Magnolya.
Lagu ciptaan sepenuhnya Yovie Widianto nyanyian asal Ressa Herlambang itu meraih 13 juta tontonan sejak dilancarkan pada 3 Mac lalu.















