PETALING JAYA – Seorang kontraktor Kelas F mendakwa dia kini menjadi penoreh getah dan tukang rumah bagi menyara keluarga selepas gagal mendapat tender projek kerajaan sejak beberapa tahun lalu.
Ahmaad, 33, berkata, dia terpaksa menggantung sementara lesen kontraktor selepas sudah lebih dua tahun tidak mendapat projek daripada kerajaan.
Katanya, dia kini menoreh getah separuh masa dan tukang rumah bagi menyara isteri dan dua anaknya.
“Saya mewarisi lesen daripada bapa ketika berusia 25 tahun dan ketika itu banyak projek daripada Kerajaan Pusat dan negeri. Namun, sejak 2018, ia mula berkurangan.
“Kami terpaksa bersaing melalui cabutan undi,” katanya yang berasal dari Pantai Timur.
Ahmaad mendakwa, kebanyakan projek yang diperoleh biasanya menggunakan orang dalam atau kabel dan jika ada baki projek ia terletak di kawasan pedalaman yang memakan kos tinggi.
“Ramai kontraktor senasib dengan saya hingga ada menjadi peruncit, peniaga pasar malam dan menjual barangan terpakai,” katanya.
Seorang lagi kontraktor, Zul, 50, berkata, dia kini berniaga di uptown.
Jelas Zul, dia sudah tawar hati untuk menjadi kontraktor selepas lebih setahun tidak mendapat sebarang projek.
“Dahulu dapat projek baiki balai raya, bangunan kerajaan, landskap dan longkang tetapi sekarang projek sangat kurang.
“Daripada mengharapkan dapat projek, baik saya berniaga,” kata bapa kepada enam anak itu.














