PETALING JAYA – Rakyat Malaysia disarankan untuk mengelakkan berhutang melebihi keupayaan selain mengamalkan sikap berjimat cermat dalam situasi krisis kewangan dihadapi mereka susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) diumumkan Bank Negara (BNM) buat kali kelima baru-baru ini.
Pakar Psikologi Khidmat Kaunseling Access, Dr. Meriam Omar Din berkata, orang ramai juga dinasihatkan menghentikan budaya suka menunjuk-nunjuk kemewahan yang boleh menyebabkan mereka terjebak berhutang melebihi keupayaan.
“Secara umum krisis kewangan ini boleh dielakkan dengan mengelakkan berhutang lebih daripada keupayaan dan ada sikap berjimat.
“Ini hanya boleh berlaku jika budaya menunjuk-nunjuk status dengan pembelian barang mewah seperti kereta yang menjadi bebanan hutang utama dihentikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dari segi kesan psikologi pula, beliau menegaskan, sebarang krisis kewangan boleh meningkatkan stres dan kesihatan mental individu berkenaan.
“Justeru, pusat-pusat khidmat kaunseling untuk kes-kes krisis perlu dipertingkatkan kemahiran kaunseling bagi kes-kes yang kritikal termasuk kemurungan dan percubaan membunuh diri,” katanya.
Mengulas lanjut, ujarnya, krisis kewangan yang berlarutan sejak pasca Covid-19, ramai yang sudah pun menghadapinya bahkan keputusan menaikkan OPR akan membebankan lagi peminjam terutama sekali peniaga-peniaga kecil yang makin kesempitan.
“Saya berpendapat pihak kerajaan perlu membuat intervensi kewangan seperti mengenakan kadar faedah yang lebih rendah untuk meringankan bebanan peminjam peniaga kecil terutama sekali.
“Sikap prihatin sebegini akan meningkatkan kredibiliti kerajaan yang memerintah,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan, kenaikan OPR membebankan ramai peminjam terutama golongan B40 dan M40.
Keadaan itu menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana kini bergelut untuk membayar semula pinjaman bank yang semakin meningkat, ditambah dengan tekanan kos sara hidup tinggi. -KOSMO! ONLINE














