fbpx
Harith tekad memperluas pendekatan hijau dalam perusahaan kilang kayu. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Kilang lestari beroperasi tanpa pembaziran kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

STATISTIK pada tahun 2012 yang menyaksikan Malaysia sebagai antara negara dengan kadar pembalakan hutan terbesar di dunia telah membuka mata pemuda itu.

Lahir dalam keluarga yang menjalankan perusahaan pembuatan perabot kayu, dia tidak mahu terus menjadi penyumbang terhadap statistik berkenaan.

Selepas tamat pengajian Ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Nottingham, United Kingdom, Harith Ridzuan, 37, memutuskan untuk menyertai perniagaan keluarganya dan memulakan perubahan terhadap operasi yang lebih lestari.

Menurutnya, tahun 2012 adalah titik tolak kepada perubahan syarikat keluarganya yang telah ditubuhkan sejak tahun 1993.

“Seawal umur 10 tahun saya sudah didedahkan dengan industri perkayuan dan usia sekecil itu turut bekerja di kilang keluarga secara separuh masa.

“Apabila membesar dalam industri, saya tidak nampak cacat celanya hingga mengetahui akan isu alam sekitar yang terjadi akibat pembalakan, ditambah perusahaan kayu berada dalam konteks tersebut dan kerana itu sudah tiba masanya perlu ada perubahan,” katanya kepada K2 di kilang tersebut di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Harith, perubahan yang dilaksanakan membawa kepada tercetusnya jenama The Green Factory yang bermatlamat utama menjimatkan penggunaan kayu berdasarkan slogan saving the world, one piece at a time.

The Green Factory merupakan jenama induk bawah syarikat One Tech (M) Sdn. Bhd. yang pada awalnya menjalankan aktiviti pembuatan serta pembekalan perabot untuk pejabat dan sekolah kerajaan.

Bagaimanapun, pada 2012, di bawah seliaan Harith, syarikat itu mengembangkan operasi sebagai sebuah kilang pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lestari.

Produk dihasilkan turut dikembangkan bukan sekadar membuat perabot tetapi juga barang kelengkapan rumah, fesyen, hadiah korporat, cenderahati dan sebagainya yang dibuat menggunakan bahan asas kayu.

Suasana di dalam kilang The Green Factory, Ampang yang amat menerapkan aspek mesra alam.

Kini, The Green Factory bukan saja dikenali sebagai sebuah kilang perusahaan mesra alam, bahkan mendapat pengiktirafan anugerah Good Design Award dari Jepun pada 2018 dan Anugerah

Usahawan Muda Peka 2023 anjuran Persatuan Kayu Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (Peka).

Harith selaku Ketua Pegawai Eksekutif The Green Factory menerangkan, operasi The Green Factory melibatkan 45 tenaga kerja yang mana 90 peratus warga tempatan dengan 80 peratus daripadanya bawah usia 35 tahun.

Jelas Harith, konsep lestari diketengahkan The Green Factory meliputi operasi kilang secara menyeluruh yang dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar. Ini merangkumi pembuatan produk, sumber kayu, bahan digunakan, operasi pentadbiran, kemudahan infrastruktur serta aset lebih mesra alam.

“Dalam operasi yang mesra alam kami melaksanakan konsep secara circular (kitaran) iaitu pelaksanaan menyeluruh dan berterusan. Sejak mula saya menyertai syarikat, perubahan ke arah kelestarian dalam perusahaan diterapkan secara berperingkat.

“Ia bukan satu tindakan yang mudah kerana operasi ini memerlukan penyelidikan yang teliti serta setiap langkah perlu mengambil kisah tentang kesan terhadap alam sekitar,” ujarnya.

Tambahnya, pengambilan sumber kayu adalah asas kepada operasi mesra alam yang mana penggunaan bahan mentah (kayu) bukan saja dari sumber hutan yang dibenarkan tetapi juga dari hasil peladangan dan kayu terpakai.

Kongsi pemuda asal Ampang itu lagi, selain mempelbagai sumber kayu, mereka juga melaksanakan operasi pembuatan tanpa pembaziran yang mana setiap lebihan kayu termasuk habuk kayu akan dimanfaatkan bagi penghasilan produk bersesuaian untuk dikomersialkan.

Menuju ke arah pengurusan sifar pembaziran kayu, habuk kayu hasil penggergajian, kayu lebih potongan dan kayu rosak atau tidak menepati standard kualiti tidak dibuang sebaliknya digunakan semula untuk tujuan dan pembuatan produk.

“Bahan lebihan ini kita hasilkan produk kecil untuk pasaran terbuka seperti alas pemotong, alas cawan, pemegang telefon, kotak simpanan kayu serta sebagainya di bawah jenama cabang, Dapo.

“Selain itu, kita juga ada jenama cabang lain, Oran dan Bula yang menghasilkan produk fesyen serta cenderahati seperti butang baju Melayu, rantai kunci dan macam-macam lagi,” kongsinya.

Hurainya lagi, semua produk tersebut termasuk perabot dijual secara dalam talian atau oleh pengedar di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan di Langkawi, Kedah.

Menurutnya, penggunaan bahan lain seperti gam juga menggunakan bahan bebas toksik yang lebih selamat buat pekerja dan pengguna.

Selain operasi pembuatan mesra alam, konsep tersebut turut diamalkan dalam operasi pentadbiran di mana rekaan pejabat juga lebih memanfaatkan pencahayaan semula jadi bagi mengurangkan penggunaan elektrik.

Di kilang turut terdapat sistem penuaian air hujan yang mana air tersebut akan digunakan untuk tujuan pembersihan dan menyiram pokok yang ditanam sekitar premis.

Harith juga mengambil langkah proaktif dalam meluaskan kesedaran tentang perusahaan yang lebih lestari.

Dengan pengalaman dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara, Harith turut turun padang berkongsi informasi dan maklumat tentang idea industri yang mesra alam.

Malah, dia turut membuka pintu kepada orang ramai yang mahu melihat sendiri bagaimana operasi mesra alam di The Green Factory dalam program ‘rumah terbuka’ yang dilaksanakan dua kali setahun.

“Kita juga mengajak orang ramai sama-sama jadi sebahagian daripada industri hijau bersama kami menerusi program pengumpulan dana ekuiti yang dibuka kepada mereka yang berminat.

“Melalui program ini, pihak kami mahu memperhebat operasi dan meluaskannya agar perindustrian mesra alam berkembang pesat di negara ini,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN