fbpx
ISAMIL hanya terbaring selepas bergantung ubat morfin setelah disahkan menghidap kanser tahap empat sejak awal tahun ini.

‘Kanser ini terlalu menyakitkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Malang me­nimpa sebuah keluarga apabila si bapa yang diharapkan mencari nafkah selama ini kini menjadi lemah selepas disahkan menghidap kanser perut tahap empat sejak awal tahun ini.

Norafizah Sahrom, 36, berkata, suaminya, Isamil Mohd. Lazim, 44, kini bergantung dengan ubat morfin selain perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Katanya, mereka kini kehila­ngan punca pendapatan kerana menyangka suaminya mengalami gastrik biasa pada mulanya.

“Pada 2008, suami telah menjalani pembedahan untuk membuang batu hempedu sebelum perutnya kembali sakit pada hujung tahun lepas.

“Apabila diperiksa, doktor kata terdapat kesan hempedu telah pecah. Masa itu kami tak tahu lagi pasal kanser dan hanya menyangka terkena gastrik. Tetapi lama-kelamaan, gastrik itu dilihat bukan seperti sakit biasa,” katanya ketika ditemui di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini.

Menurut Norafizah, suaminya kemudian disahkan menghidap ‘gall­bladder adenocarcinoma mets liver and lymph nodes’ iaitu sejenis kanser yang jarang berlaku.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, Isamil sepatutnya perlu menjalani pembedahan, namun doktor tidak mahu mengambil risiko ekoran kanser telah me­rebak ke bahagian organ lain.

“Suami terpaksa berhenti kerja sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Tanjung Surat sejak awal tahun lalu,” katanya.

Ujar Norafizah, anak sulung yang bersekolah asrama di Batu Pahat terpaksa dipindahkan ke sekolah berhampiran rumah ekoran keadaan suaminya itu.

“Suami sukar bergerak dan hanya bergantung kepada morfin yang diambil setiap empat jam untuk meredakan kesakitannya,” katanya.

Menurut Norafizah, mereka ada juga menerima bantuan daripada wakil rakyat dan sedang menunggu kelulusan permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan baitulmal.

“Ketika ini, saya belum fikir lagi mengenai persiapan Aidilfitri kerana perlu fokus kepada kesihatan suaminya yang belanja harian. Sekarang hendak makan pun susah,” katanya.

Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Isamil di 101179031336 atau hubungi 011-1211 5787.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN