JAKARTA – Kakitangan sebuah hospital di Indonesia berdepan detik menyeramkan apabila butang kecemasan yang sering digunakan oleh pesakit untuk memanggil jururawat tiba-tiba berbunyi, lapor portal berita Serambi News.
Rakaman video kejadian dikongsi di platform TikTok oleh akaun @riskaindah102 menunjukkan sistem panggilan jururawat mengeluarkan bunyi tanpa henti, meskipun tiada pesakit di katil tersebut.
Lebih mengejutkan, tiang intravena (IV) yang terletak di sebelah katil itu bergoyang seolah-olah ada sesuatu yang memegangnya.
Beberapa jururawat yang bertugas terkejut kerana tiada pesakit di ruang tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 5.4 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Hospital memang banyak hantu,” kata seorang netizen.
“Ada yang ajak bergurau, seram,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














