fbpx
R. Ramanan pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India, di Universiti Malaya, hari ini Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Mitra terima tambahan RM50 juta, tertinggi dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) menerima tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta menjadikan keseluruhan dana berjumlah RM150 juta tahun ini, sekali gus disifatkan sebagai peningkatan tertinggi pernah direkodkan sejak lebih 20 tahun penubuhannya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tambahan itu mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan komuniti India di negara ini.

Menurut beliau, sebelum ini peruntukan bagi komuniti India melalui Seed, Sedic dan Mitra kekal pada kadar RM100 juta tanpa sebarang peningkatan.

“Ini adalah kali pertama sejak penubuhan bukan sahaja Mitra, malah sejak era Seed dan Sedic lebih 20 tahun lalu, peruntukan ditingkatkan daripada RM100 juta kepada RM150 juta.

“Jadi ini satu hari yang perlu dirakam dalam sejarah dan saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas tambahan RM50 juta ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini.

Beliau berkata, Mitra berjaya membelanjakan keseluruhan RM100 juta yang diperuntukkan pada tahun 2023, manakala sebanyak 99 peratus daripada dana tahun 2024 turut digunakan sepenuhnya.

Katanya, bagi tahun 2025 pula, semua program telah dirancang dan kini sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Rollout sedang berjalan dan hampir keseluruhan RM100 juta sedia ada juga sudah digunakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan kepada komuniti India bukan hanya tertumpu kepada dana Mitra semata-mata kerana terdapat pelbagai inisiatif lain yang turut disediakan kerajaan.

Menurutnya, antara program berkenaan termasuk Program Program Pemerkasaan Kesejahteraan dalam Norma Baharu (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dengan dana RM100 juta.

Selain itu katanya, Tekun Nasional turut menyediakan RM100 juta khas untuk komuniti India, manakala SME Bank memperuntukkan RM50 juta bagi membantu usahawan India.

Tambah beliau, pelbagai program lain turut dilaksanakan menerusi HRD Corp termasuk inisiatif Vetri Madani yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti India di negara ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN