AMPANG JAYA – Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes pecah rumah yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM800,000 di Taman Melawati, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, tangkapan terhadap pasangan berkenaan dilakukan semalam.
“Tangkapan telah dijalankan terhadap sepasang suami isteri berketurunan Indonesia pada 9 Mei 2026 bagi membantu siasatan. Kes masih dalam siasatan polis sehingga kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah rumah di Taman Melawati dipecah masuk penjenayah sehingga menyebabkan kerugian besar membabitkan barangan berharga.
Khairul Anuar dilapor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian selepas pemilik rumah pulang ke kediamannya kira-kira pukul 11.30 malam.
Katanya, pengadu mendapati ruang tamu serta beberapa bilik dalam rumah berada dalam keadaan berselerak sebelum pemeriksaan lanjut menemukan kesan umpilan pada pintu belakang rumah. – KOSMO! ONLINE














