SEBAGAI seorang pelajar bidang sains tulen yang mementingkan bukti empirikal, Aliya (bukan nama sebenar) tidak pernah percaya pada kisah dunia mistik.
Namun, semuanya berubah apabila dia mengalami satu pengalaman ngeri yang tidak dapat dijelaskan menerusi logik akal.
Bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta tempatan ketika ini, Aliya menganggap kisahnya itu sebagai salah satu ‘teguran’ daripada Tuhan supaya dia percaya dengan perkara ghaib.
Mengimbau kembali kisah yang berlaku ketika berusia 16 tahun itu, wanita berasal dari Kuala Lumpur tersebut mengakui, dia skeptikal dengan kisah tahayul rakan-rakan di asramanya.
Aliya yang pada ketika itu menuntut ilmu di sebuah sekolah berasrama di utara Malaysia merasakan ketaasuban pelajar-pelajar di situ terhadap ‘hantu 3 pagi’ sebagai pemikiran kolot.
Oleh kerana dia berfikiran begitu, Aliya tidak pernah takut untuk pergi ke tandas seorang diri pada pukul 3 pagi walaupun ia terletak di hujung asrama.
Pada satu malam, Aliya yang mahu ke tandas seperti biasa ternampak rakan asramanya, Mona (bukan nama sebenar) sedang tekun memberus baju di singki tandas.
“Saya sempat perli Mona sebelum masuk tandas. Dia yang beria beritahu kami semua tentang hantu 3 pagi, tapi dia yang pergi cuci baju pada pukul 3 pagi.
“Masa itu, saya rasa mungkin dia sengaja takut-takutkan kami supaya dia boleh guna kemudahan di bilik air tanpa berebut dengan sesiapa,” jelasnya.
Sebaik dia masuk ke tandas, bunyi berus tadi kedengaran semakin kuat dan laju seakan-akan rakannya itu sedang marah dengan usikannya tadi.
Masih tidak berasa aneh, Aliya keluar dari tandas dengan niat untuk mengusik lagi rakannya itu.
“Waktu saya keluar tandas, muka Mona masih lagi tunduk memberus kain. Jadi, tak nampak dekat cermin singki itu.
“Saya pun pergi cuci tangan sebelah dia sambil bergurau tentang hantu 3 pagi. Saya sempat cakap bahawa rupanya dialah hantu 3 pagi sambil ketawa.
“Tiba-tiba saya perasan tangannya memberus sehingga berdarah. Bila saya angkat kepala, Mona memandang ke arah saya dan wajahnya sangat buruk,“ ujarnya.
Aliya yang tergamam terus berlari masuk ke bilik asrama. Ketika itu, jarak antara tandas dan bilik asramanya terasa sangat jauh.
Sesampai di biliknya, Aliya yang sudah bermandi peluh segera panjat ke atas katil dan selubung dirinya dengan selimut.
Menerusi selimutnya yang nipis, Aliya nampak kelibat ‘Mona’ berjalan di bahagian kaki katil dua tingkat dan perlahan-lahan menghampiri bahagian kepalanya.
“Satu badan saya seram sejuk. Saya tidur di bahagian atas katil double decker, saya tak boleh bayangkan yang ‘Mona’ ini sedang berdiri ke atau terbang di sebelah katil saya.
“Saya cuba menjerit tapi tiada suara. Jadi, saya tutup mata dan menangis sepuas-puasnya. Lama juga Mona berdiri di sebelah katil saya seakan-akan dia sedang menunggu saya bangun.
“Akhirnya saya kepenatan dan sedar-sedar sudah pagi.
“Anehnya, tiada seorang pun kawan saya dengar saya meracau sepanjang malam itu. Tiada siapa juga sedar saya berlari masuk bilik termasuk rakan yang tidur di bawah katil saya,” ujarnya.
Rakan-rakan seasrama Aliya bukan sahaja tidak percaya dengan kisahnya, malah menuduh dia sengaja ingin menyindir Mona yang sememangnya taasub dengan kewujudan hantu 3 pagi.
Tambahnya, peristiwa itu telah menyebabkan Aliya memujuk ibu bapanya supaya memindahkan dia kembali ke sekolah harian di Kuala Lumpur.














