fbpx
Pertukaran jarum suntikan dadah berisiko tinggi dijangkiti HIV. – GAMBAR HIASAN

Suami ajak bini hisap syabu untuk jadi kuat, hilang stres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang ibu kepada dua anak mendakwa suaminya kerap meminta dia mencuba syabu kononnya dadah tersebut tidak akan menyebabkan ketagihan, sebaliknya menjadikannya lebih bertenaga dan menghilangkan tekanan.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Suhaili, 35, berkata, suaminya itu sering mengajaknya menghisap dadah terutama ketika mahu melakukan seks.

“Sepanjang tempoh perkahwinan, saya terpaksa bertahan dan kuatkan diri supaya tidak terpengaruh dengan ajakannya.

“Apabila dia minta saya ambil benda itu (syabu), saya hanya beritahu nanti akan fikirkannya terlebih dahulu kerana kalau saya tolak mentah-mentah, dia akan mengamuk dan rosakkan barang di rumah,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, dia enggan mengambil syabu itu kerana sedar kesannya kepada diri dan tidak mahu menjadi penagih se­perti bekas suaminya itu sehingga mengabaikan dua orang anak berusia 10 dan 11 tahun.

“Suami ambil dadah sejak muda lagi, saya sanggup berkahwin dengannya kerana dia beritahu mahu berubah, namun tidak sangka syabu ini telah merosakkan kesihatan mentalnya.

“Perkahwinan kami akhirnya terlerai dengan perceraian dua tahun lalu disebabkan keadaan suami yang semakin teruk selain ke­rap keluar masuk penjara,” ujarnya.

Seorang peniaga di Padang Besar yang mahu dikenali sebagai Kak Za, 46, pula memberitahu, dia sedih apabila kedua-dua anak lelakinya berusia lingkungan 20-an terjebak dadah.

“Mula-mula anak sulung saya terpengaruh dengan rakan sebelum adiknya pula yang saya percaya terpengaruh dengan abangnya.

“Mereka mudah terpengaruh kerana kami tinggal di lokasi panas dadah dan ketum berdekatan sempadan Malaysia-Thailand,” dakwanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia juga pernah menempatkan dua anaknya itu di pusat pemulihan dadah swasta dengan bayaran pendaftaran RM6,000 selain caj bulanan sebanyak RM1,000.

“Namun apabila mereka keluar pusat pemulihan itu, saya percaya dua anak saya ini terjebak semula dengan dadah berdasarkan peralatan hisap syabu yang ditemui di dalam bilik,” katanya.

Tambahnya, dua anaknya itu hanya membantunya berniaga dan mengharapkan pendapatan daripadanya.

“Mereka memang sentiasa minta wang. Dalam fikiran mereka hanya dadah dan akan mengamuk kalau permintaan tak dituruti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN