ALOR SETAR – Gejala penagihan dadah dalam keluarga semakin membimbangkan apabila ada suami sanggup mempengaruhi isteri sendiri untuk menghisap dadah bagi membolehkan mereka bersama-sama melepaskan gian di rumah.
Malah lebih teruk terdapat kes yang melibatkan seorang suami menghisap dadah bersama dua isterinya yang bermadu selain keadaan serupa turut berlaku dalam kalangan adik-beradik.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff berkata, masalah itu sudah lama berlaku dalam institusi keluarga di negara ini, namun kini semakin banyak kes diterima pihaknya.
“Pihak kami menerima banyak kes melibatkan penagihan dadah membabitkan pasangan suami isteri dan adik-beradik, malah ada juga kes daripada nenek menghisap dadah, sehinggalah kepada anak-anak serta cucu mereka turut menjadi penagih.
“Habis semua terjebak dadah dan kebanyakan mereka meninggal dunia kerana jangkitan HIV, Hepatitis C atau terlebih dos dadah. Antara dadah yang sering digunakan ialah syabu dan ganja,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, ada penagih yang mempengaruhi isteri untuk mengambil syabu dengan mendakwa kononnya dadah tersebut tidak akan mengakibatkan ketagihan dan hanya diambil ketika perlu sahaja.
“Lebih teruk apabila ada yang meminta isteri mengambil dadah untuk tujuan berhibur atau ketika mahu melakukan seks. Pengaruh tersebut akhirnya menjadikan isteri mereka turut bergelar seorang penagih sepertinya.
“Situasi itu pada akhirnya menyebabkan si isteri juga mengalami ketagihan, seterusnya menyebabkan berlakunya masalah pengabaian anak-anak apabila hidup menjadi huru-hara,” ujarnya.
Beliau juga tidak menolak ramai pasangan suami isteri penagih turut menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai sumber pendapatan mereka.
Katanya, Masac pernah mengendalikan satu kes membabitkan suami berusia lingkungan 50-an yang merupakan penagih dipercayai telah mempengaruhi isteri 40-an untuk mengambil dadah.
Ujarnya, si suami kemudian berkahwin lagi dengan wanita berusia 20-an yang turut terjebak dalam penagihan dadah.
“Lelaki itu berkahwin dengan isteri muda di Thailand dan mempunyai seorang bayi berusia sembilan bulan, namun tidak mendaftarkan kelahiran anak tersebut.
“Mereka semua tinggal serumah dan dipercayai menghisap dadah bersama-sama selain disyaki menjadi pengedar,” ujarnya.
Raja Azizan memberitahu, pihaknya juga menerima banyak panggilan menerusi Helpline Masac daripada ahli keluarga yang mengadu adik-beradik terjebak dadah.
“Bagi golongan muda ini, kita bimbang jumlah yang terjebak dadah akan meningkat susulan penyalahgunaan rokok elektronik atau vape ketika ini.
“Mereka ini hisap vape dengan kandungan sebenarnya tidak dapat disahkan yang mana ia dikhuatiri mengandungi bahan psikoaktif baharu yang boleh mengkhayalkan,” katanya.
Tambahnya, masyarakat perlu prihatin dengan segera membawa ahli keluarga terjebak dadah untuk menjalani proses pemulihan sebelum ketagihan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kerosakan pada otak.
“Masalahnya ada keluarga yang bagaikan ‘menyokong’ anak dengan memberikan mereka duit untuk beli dadah kerana tidak mahu anak-anak memberontak selain mahu menyembunyikan aib itu daripada diketahui orang luar,” ujarnya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Kedah menjadi negeri paling tinggi penyalahgunaan dadah di negara ini dengan merekodkan 13,502 pada tahun 2021.
Ia diikuti Johor sebanyak 13,261, Selangor (12,182), Terengganu (12,033), Kelantan (11,843) dan Pahang (10,551).
Secara keseluruhan jumlah penagih dadah adalah seramai 123,139 penagih bagi tahun sama.














