fbpx
Ahli komuniti Funfootball.my bermain secara santai tanpa tekanan. – ihsan Syamil Rosli

Peluang main bola secara santai dalam stadium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI lelaki lain, bola sepak menjadi sukan yang amat digemari oleh Sebastian Jonathan.

Malah, minatnya terhadap sukan tersebut sudah tersemai di jiwa sejak kecil lagi. Ketika itu, dia sering mengisi masa dengan bermainnya.

Namun, apabila meningkat dewasa, Jonathan semakin jarang bermain bola atas beberapa faktor.

Pun begitu, dia kini kembali aktif bermain bola sepak setelah menjadi sebahagian daripada komuniti bola sepak santai, Funfootball.my.

Komuniti itu membolehkan sesiapa sahaja untuk bermain bola sepak secara suka-suka dengan kerap, selain turut diberi peluang bermain sukan tersebut seolah-olah mewakili kelab bola sepak profesional.

“Saya telah lama tidak bermain bola, tetapi kini setelah menyertai komuniti ini, saya kembali aktif bermain.

“Boleh dikatakan setiap minggu saya akan menyertai komuniti ini untuk bermain bola sepak,” katanya kepada Panorama.

Jonathan, 36, berkata, dalam komuniti itu, semua pemain tidak kira kaum dan agama dilayan dengan baik seperti keluarga sendiri.

Katanya, ketika bermain, semua pemain akan merasa terima bola walaupun seseorang itu tidaklah terlalu hebat bermain bola.

“Saya rasa seronok menyertai komuniti ini kerana bukan sekadar berpeluang mengenali kawan-kawan baharu, malah semua pemain tidak kira sama ada hebat atau biasa-biasa semuanya bermain secara santai tanpa tekanan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi anggota komuniti itu, Khairi Nizam Abdullah, 31, menjelaskan, kelainan Funfootball.my yang menerapkan permainan bola sepak secara santai dan seronok tanpa tekanan itulah yang membezakan komuniti itu dengan kumpulan bola sepak yang lain.

“Selalunya, pasukan bola sepak di luar sana lebih kepada mengadakan perlawanan yang berintensiti tinggi dan lebih serius.

“Sebaliknya, di sini kami lebih kepada keseronokan. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, kami masih boleh main bersama,” jelasnya.

Khairi Nizam memberitahu, dia mengenali Funfootball.my melalui seorang kawannya sejak tahun lalu dan kini dia juga aktif bersama komuniti tersebut.

“Apa yang menarik bagi saya, dalam komuniti ini tiada istilah pemain bintang dan semua pemain dilayan sama rata.

“Memang ada pemain yang boleh bermain dengan baik dalam komuniti ini, namun dia tidak akan menganggap dirinya hebat kerana itu akan membuatkan pemain-pemain biasa lain berasa rendah diri.

“Malah, pengasas komuniti ini telah menegaskan, jika seseorang pemain itu rasa dirinya pemain bintang, dia seharusnya tiada tempat dalam komuniti Funfootball.my,” ulasnya.

Menurut pengasas Funfootball.my, Mohd. E’Zham I’dinazahar, tujuan dirinya menubuhkan komuniti tersebut adalah untuk mengembalikan nostalgia kecil ketika bermain bola sepak pada waktu petang.

Ahli komuniti Funfootball.my berpeluang beraksi dengan memakai jersi ibarat satu pasukan profesional. – Amir Khalid

Menurutnya, Funfootball.my adalah satu komuniti yang hanya bermain bola sesama sendiri dan memberi ruang kepada semua untuk mengembalikan nostalgia bermain bola sepak petang-petang tanpa sebarang tekanan.

“Jika diimbas kembali antara nostalgia bermain bola sepak terutama ketika kecil, kita akan undi pemain untuk jadi satu pasukan dan kemudian bermain bersama sambil ketawa tanpa tekanan menikmati permainan.

“Ini yang saya cuba bawakan dalam komuniti Funfootball.my ini agar dapat mengembalikan nostalgia tersebut kepada para pemain.

“Sekalipun seseorang itu tidak pandai bermain bola sepak, kita melayaninya sama sahaja seperti pemain lain,” katanya.

Mohd. E’Zham menambah, sejak ditubuhkan pada Mei tahun lalu, kini komunti Funfootball.my telah mempunyai lebih 300 ahli yang aktif bermain bola sepak.

Ia disertai oleh pemain berbilang kaum dan agama yang mencintai sukan bola sepak.

Jelasnya, setiap minggu, mereka akan beraksi di padang-padang bola sepak di sekitar Lembah Klang.

“Setiap minggu kita akan membuka 44 slot untuk pemain yang tidak kenal antara satu sama lain dan kemudian akan dipecahkan kepada empat pasukan.

“Kemudian, empat pasukan ini akan bermain bersama-sama,” bicaranya.

Kebiasaannya, setiap hari Selasa, Mohd E’Zham akan membuka slot untuk bermain di mana ahli yang berminat akan memberi nama.

Sering kali apabila senarai nama dibuka, ia akan terisi dengan cepat sehingga ada ahli yang tidak berkesempatan mengisi namanya.

“Kita menggunakan konsep siapa cepat dia dapat.

“Melalui konsep ini juga dapat mengajar pemain lebih berdisiplin di mana mereka perlu peka untuk mendapatkan slot bermain,” katanya.

Dalam pada itu, satu lagi sisi istimewa komuniti itu, kata Mohd. E’Zham, Funfootball.my turut memberi peluang kepada pemain untuk merasa bermain bola sepak seakan-akan mewakili kelab profesional.

Ini kerana setiap pemain berpeluang main bola sepak di padang yang cantik, memiliki jersi pasukan dan mendapat gambar aksi permainan yang cantik hasil bidikan jurugambar.

Menyentuh mengenai padang yang cantik, adakalanya para ‘pemain biasa-biasa’ ini juga berpeluang bermain di dalam stadium seperti pasukan profesional.

Mereka bahkan pernah bermain di Stadium Tun Abdul Razak Stadium di Jengka, Pahang.

“Bukan itu sahaja, kami juga pernah bermain di Stadium Utama Riau di Riau Indonesia pada Januari lalu.

“Malah, setiap ahli tidak lokek menggunakan wang sendiri untuk ke sana bagi merasai pengalaman seakan-akan pemain profesional yang bakal beraksi di luar negara.

“Kita juga memberi peluang dan ruang kepada ahli untuk berasa seperti pemain profesional apabila menyarung pakaian seragam di lapangan terbang sehingga ada yang ingat kita pasukan dari Liga Malaysia ketika di Indonesia,” terang Mohd. E’Zham.

Tambahnya, ketika di Riau juga mereka telah melancarkan baju pasukan untuk tahun 2023.

Dalam perkembangan terbaharu, Mohd. E’zham berkata, mereka turut menerima kehadiran pasukan dari Riau bagi satu perlawanan baru-baru ini.

“Perlawanan melibatkan dua negara ini juga memberi satu pengalaman baharu kepada ahli yang berjaya merebut slot perlawanan ini.

“Melalui Fun Match Serumpun ini, ia akan memberikan impak dan pandangan positif pasukan luar kepada industri bola sepak amatur tempatan.

“Selain itu, kami dapat memperkenalkan jenama Funfootball.my kepada pasukan luar negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN