SEREMBAN – Sebuah lagi penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berbukit berkeluasan dua padang bola sepak dikesan Jabatan Imigresen dalam serbuan berhampiran Bandar Ainsdale di sini hari ini.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, dalam operasi pukul 1 pagi tadi, seramai 47 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 32 orang telah diberkas.
“PATI yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun hingga 61 tahun. Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan itu sejak beberapa tahun lalu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Kennith, semasa serbuan, terdapat beberapa PATI yang cuba meloloskan diri, namun tidak berhasil.
Beliau berkata, penempatan haram itu digempur hasil aduan dan maklumat orang awam serta tindakan risikan oleh pihak Jabatan Imigresen selama dua minggu.
“Pasukan operasi juga menemui kawasan yang didirikan khemah di dalam hutan berhampiran yang dijadikan tempat persembunyian PATI. Penempatan ini berada di kawasan permukaan tidak rata yang mendatangkan risiko kecederaan kepada pegawai operasi,” ujarnya.
Mereka yang ditahan melakukan kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














