HULU LANGAT – “Apa yang berlaku kepada pemilik tanah perlu dijadikan pengajaran kepada penduduk setempat.”
Demikian kata Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan berhubung struktur haram yang dibangunkan pemilik sehingga menjadi penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, di sini.
Menurut Mohd. Sany, semua pihak perlu memastikan sebarang pembangunan atau pembinaan dilaksanakan mengikut prosedur serta peraturan sedia ada bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Selepas ini, apa-apa pembinaan hendaklah mengikut spesifikasi dan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, proses merobohkan struktur bangunan itu telah selesai sepenuhnya dengan tapak itu dikosongkan buat masa ini.
“Alhamdulillah, saya lihat masyarakat di kawasan ini telah kembali menjalani rutin harian masing-masing dan tiada lagi aduan berkaitan warga asing.
“Saya juga akan terus memantau kawasan yang menerima aduan berkaitan kehadiran warga asing bagi memastikan sebarang isu yang dibangkitkan oleh penduduk dapat ditangani mengikut saluran dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, tapak yang pernah menempatkan kira-kira 400 penghuni itu kini hanya dipenuhi timbunan runtuhan konkrit serta sisa bahan binaan susulan kerja-kerja perobohan.
Terdahulu, kerja-kerja merobohkan struktur bangunan di penempatan tersebut mula dilaksanakan oleh pemilik tanah selepas kawasan itu menjadi perhatian susulan dakwaan penempatan warga asing yang dibina tanpa kelulusan.
Anak kepada pemilik tanah juga telah tampil membuat permohonan maaf dan mengakui kesalahan mereka dalam isu berkenaan selain mengambil inisiatif untuk memperbetulkan keadaan.
Sebelum ini, struktur bangunan tiga tingkat yang dipercayai disewakan kepada etnik Rohingya menjadi perhatian selepas tular satu video memaparkan kawasan berkenaan di media sosial.
Perkara itu menimbulkan pelbagai spekulasi selain membongkar kewujudan beberapa penempatan membabitkan etnik terbabit di sekitar Hulu Langat. – KOSMO! ONLINE














