fbpx
ISYARIANA

Isyariana pasang pagar pemisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAKUT terjebak dengan hubungan cinta terlarang bersama selebriti berstatus suami orang, Isyariana lantas membina tembok untuk mengelak timbul sebarang kemesraan yang tidak sepatutnya ketika bekerja.

Lambakan kisah cinta lokasi golongan selebriti sedikit menggentarkan jiwa Isyariana yang setakat ini kerjayanya bersih daripada sebarang noda.

Bukan takut jatuh cinta tetapi khuatir sekiranya namanya terkait dengan pelakon berstatus suami orang sekali gus dituduh sebagai perosak rumah tangga pasangan lain.

Bagi mengelakkan hati dijentik rasa sayang apatah lagi ‘terjatuh’ cinta, wanita berusia 32 tahun ini menegaskan mempunyai prinsip sendiri apabila bergaul dengan rakan selebriti lain.

Jawapannya yang diberikan bekas bintang Akademi Fantasia itu mudah, perlu bina ‘pagar pemisah’ dalam hubungan persahabatan.

ISYARIANA mengimpikan lelaki yang pendiam dan bukan dalam kalangan selebriti sebagai calon suaminya.
– SADDAM YUSOFF

Friendzone

“Sebagai anak seni, memang saya sedar tentang banyak cerita kurang enak segelintir pelakon bermain cinta di lokasi penggambaran.

“Tipulah tidak takut sekiranya ditakdirkan terjebak tetapi selagi saya sedar ruang dan boleh elak, memang akan jauhi perkara sebegitu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Cara mengelak yang diamalkan pelakon sopan tutur kata itu ialah dengan menggunakan panggilan ‘kau, aku’ kepada pelakon lelaki di set penggambaran.

Mungkin kedengaran agak kasar namun baginya, perkara itu sudah cukup untuk dijadikan sebagai garis sempadan sebelum berlakunya sebarang jalinan hubungan tidak sepatutnya.

“Di set penggambaran, saya mengguna kata ganti nama diri sebagai kau dan aku dengan pelakon lelaki yang sudah beristeri. Tiada panggilan i, you, saya atau awak.

“Dengar macam kasar tetapi itu cara dan prinsip saya bergaul dengan mana-mana suami orang.

“Mungkin juga itu cara saya friendzone kenalan lelaki, dalam masa sama tetap ingin menjaga hubungan baik sesama anak seni,” ujarnya.

Isyariana yang pernah membintangi drama Hati Yang Dikhianati juga menegaskan tiada keperluan untuknya membawa keserasian ketika berlakon sehingga ke luar set penggambaran.

“Setakat ini, setiap kali bergandingan dengan mana-mana pelakon, saya tidak memerlukan keserasian di luar set.

“Apabila tahu pelakon itu sudah beristeri, lagilah saya elak. Dalam lakonan memang bersayang-sayang tetapi tidak akan terbawa-bawa perasaan itu di luar,” katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat untuk mana-mana drama.

SUKAR mempercayai lelaki kerana pernah dibesarkan dalam sebuah keluarga berpecah-belah antara salah satu sebab Isyariana masih solo sehingga hari ini.

Isteri Halal

Memasuki perihal kerjaya, Isyariana bersyukur diberi peluang sekali lagi menggalas watak utama dalam drama Isteri Halal arahan Uchee Fukada.

Menurutnya, naskhah tersebut sangat mencabar buat dirinya kerana perlu bermain dengan emosi yang diibaratkan seperti roller coaster.

“Naskhah dan watak sebagai Adellea yang dipertanggungjawab kepada saya sangat berat. Terlalu banyak emosi yang perlu diberikan untuk drama ini.

“Namun saya ambil semua itu sebagai satu bentuk cabaran. Syukur pengarah beri kebebasan kepada saya untuk berkarya dan pelakon lain juga sangat membantu,” tutur anak kelahiran Temerloh, Pahang itu.

Masih memegang watak protagonis yang menjadi ‘makanannya’ sebagai seorang aktres setakat ini, dia tetap mencabar diri untuk memberi kelainan berbanding karakter-karakter terdahulu.

“Apabila sudah terbiasa bawa watak baik, memang susah nak cari kelainan dan saya berikan yang terbaik untuk naskhah ini.

“Menariknya watak ini, pada awalnya memang ditindas, teraniaya dan ditipu tetapi akhirnya dia bangkit melawan semua hal yang menjatuhkan hidupnya.

“Seronok memberi sepenuh jiwa ditambah pula pelakon lain seperti Uqasha Senrose, Nazim Othman dan Aidit Noh sangat profesional serta saling membantu antara satu sama lain,” tutupnya.

ISYARIANA menegaskan tidak pernah berhenti menyanyi meskipun kini aktif dalam bidang lakonan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN