“YA, sudah tentu. Saya memang minat menyanyi rap.”
Demikian kata pelakon dan pengacara jelita, Amelia Henderson bercerita tentang pengalaman berlakon alih suara watak Kapten Zee dalam filem animasi, Didi & Friends The Movie.
Pemilik nama lengkap, Amelia Thripura Henderson itu mengakui bukan kali pertama menyanyi rap. Sebelum ini, dia juga pernah menyanyi rap sehingga mendapat perhatian sebilangan orang.
“Tak pasti orang ingat atau tidak, tetapi saya memang pernah muat naik video saya nyanyi rap yang raih perhatian orang.
“Dalam televisyen pun, saya pernah rap dengan Altimet. Dalam Didi & Friends The Movie bukan kali pertamalah (ketawa),” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Ditebak, adakah dia akan bergiat aktif dalam dunia rap disebabkan karakter Kapten Zee, Amelia, 28, tidak menolak kemungkinan tersebut.
“Memang dah lama saya nak aktif dalam nyanyian rap tapi sebagai pelakon, jadual saya sangat sibuk.
“Susah nak rancang. Kalau ada rezeki, memang saya nak jadi penyanyi rap,” ujarnya.
Meminati genre hip-hop, Amelia mendedahkan nama-nama yang menjadi idola dan rujukan repertoire rapnya.
“Kalau di Malaysia, sudah tentu saya mengidolakan Joe Flizzow dan SonaOne.
“Kalau luar negara, saya suka gaya nyanyian rap legenda muzik, Eminem dan Kendrick Lamar,” akuinya yang tidak menolak untuk kembali terlibat dalam dalam filem animasi andai diberi peluang.

‘Pasport Malaysia, bukan AS’
Memiliki darah ‘mat salih’, menawan dan bijak berkomunikasi, Amelia mengakui pernah mencuba untuk melebarkan sayap ke Hollywood atau Amerika Syarikat (AS).
Katanya, bukan mudah untuk membina nama di negara Uncle Sam. Dia pernah mencuba nasib, namun menemui jalan buntu.
“Saya pernah pack my bag and leave (cuba nasib di luar negara). Saya pernah tinggal di Los Angeles, California selama dua tahun.
“Bukan nak cakap tinggal di sana tidak menyeronokkan. Seronok tetapi bila sampai sana saya baru sedar betapa ‘Malaysianya’ diri ini.
“Sedar saya bukanlah ‘mat salih’ sangat, saya orang Malaysia dan Asia. Jadi, saya buat pusingan U dan pulang ke Malaysia,” luahnya.
Jelas Amelia lagi, bakatnya sukar ‘dijual’ kerana tidak mempunyai kelainan dari segi rupa dan tutur kata berbanding orang lokal di AS.
“Untuk seseorang yang macam saya bila ke AS, dahlah muka saya serupa macam orang sana. Saya cakap pun sama macam mereka.
“Jadi, apa perbezaan saya dengan orang lokal di sana? Tambah lagi, saya tiada dokumentasi untuk menyenangkan kerja di sana. Saya tiada pasport AS,” ujarnya.
Tambah pelakon drama rantaian, Kisah Cinta Kita itu lagi, tidak salah untuk memasang angan-angan tinggi, namun seperti kata peribahasa, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.
“Saya faham, dalam kehidupan setiap orang, kita patut kejar impian dan realisasikannya.
“Untuk saya, selepas duduk di sana dua tahun dan balik Malaysia, rasanya sangat bersyukur sebab peluang dan rezeki dapat di negara ini, rasa cukup dihargai.
“Sebab, di sinilah lahir minat saya terhadap lakonan. Kalau pergi sana pun, saya akan sentiasa cari di mana nasi lemak,” katanya.

Studio Sembang
Sebelum menggulung perbualan, Amelia sempat diajak memberikan pandangan tentang dakwaan segelintir pihak, kononnya audio siar (podcast) kendaliannya, Studio Sembang menjadi platform membuka aib figura jemputan.
Ujarnya, setiap kandungan yang dirakam menjalani proses suntingan bersama mereka yang terlibat termasuk artis atau jemputan.
“Studio Sembang beri ruang kepada tetamu jemputan bercakap tentang kehidupan mereka dengan tujuan menyebarkan mesej.
“Apabila saya tanya tentang hidup mereka, saya tak pernah kawal atau paksa mereka cakap sesuatu perihal yang menjadi kontroversi,” katanya.
Amelia tidak akan pernah sesekali memuat naik kandungan platform podcast tersebut tanpa persetujuan selebriti jemputan.
“Saya tak pernah lepaskan atau muat naik apa-apa kandungan tanpa persetujuan selebriti jemputan dalam Studio Sembang.
“Apatah lagi apabila apa yang dikongsi kepada umum melibatkan kehidupan peribadi mereka. Tapi, saya mengaku pernah sahaja terjadi apabila dah terbitkan, terfikir benda yang dikongsi itu tak sesuai untuk tatapan umum,” katanya memberi noktah perbualan.















